Maktabah Al-Ghazali, Ahmad Safarman juarai Pertandingan Membaca Negeri Kelantan 2026
-
10 September 2026
-
Oleh: Norzana Razaly
-
39
KOTA BHARU, 10 September – Maktabah Al-Ghazali milik keluarga Dr. Noor Hisyam Mat Nawi muncul juara Pertandingan Ruang Bacaan Keluarga Peringkat Negeri Kelantan Tahun 2026, manakala pendidik dan penulis Ahmad Safarman Dollah mengungguli kategori Ikon Individu Membaca.
Kemenangan itu mengetengahkan dua pendekatan pembudayaan ilmu yang saling melengkapi iaitu pembinaan ekosistem membaca bermula dari rumah serta amalan membaca secara konsisten pada peringkat individu.
Maktabah Al-Ghazali yang menjadi nadi kediaman keluarga (Baitun Nuur) Dr. Noor Hisyam, dibangunkan sebagai ruang menyimpan koleksi buku dan menjadi pusat kegiatan ilmu dan pendidikan keluarga.
Dr. Noor Hisyam, 52, yang merupakan pensyarah kanan Fakulti Pengajian Bahasa dan Pembangunan Insan (FBI), UMK berkata, ruang bacaan keluarga itu telah wujud sejak awal perkahwinan pada 2006 sebelum pengurusannya disusun secara lebih sistematik selepas keluarganya mendiami Baitun Nuur pada Februari 2015.
Menurutnya, kediaman berkenaan dirancang bersama isteri, Mazidah Muhammad, 53, berteraskan visi untuk menjadi pusat perkembangan pendidikan, pentarbiahan dan pengislahan keluarga.
“Baitun Nuur bermakna cahaya dan cahaya itu adalah ilmu dan hikmah. Ilmu pula tidak boleh dipisahkan daripada kitab, al-Quran sebagai pedoman wahyu dan buku-buku hasil taakulan pemikiran manusia.
“Baitun Nuur adalah tempat berlakunya proses sinergi ilmu naqli dan aqli yang akan membangunkan ummah. Semuanya perlu bermula di rumah dan Maktabah Al-Ghazali adalah terasnya,” katanya.
Maktabah berkenaan turut berfungsi sebagai ruang diskusi keluarga, pembelajaran anak-anak, mesyuarat, perbahasan, usrah serta kegiatan menonton dan mengulas filem sebagai sebahagian proses pembinaan pemikiran.
Menurut Dr. Noor Hisyam lagi, setiap buku yang diperoleh sama ada melalui pembelian, hadiah atau program akan dibaca, direkodkan tarikh selesai bacaan, dibincangkan dan dikongsi untuk bacaan bergilir dalam kalangan ahli keluarga.
Budaya itu kini dikembangkan daripada amalan membaca kepada penulisan sebagai usaha membentuk anggota keluarga yang bukan sahaja menjadi pengguna ilmu, malah mampu mengolah pemikiran dan menghasilkan karya bermanfaat.
Beberapa projek penulisan bersama turut berjaya dihasilkan sebagai kesinambungan budaya ilmu yang dibina dalam keluarga berkenaan.
Sementara itu, Mazidah berkata, keluarga berkenaan berhasrat mengembangkan Baitun Nuur sebagai pusat latihan komuniti yang memberi tumpuan kepada pendidikan kekeluargaan dalam tempoh lima tahun akan datang.
"Kami rancang untuk buka Maktabah Al-Ghazali kepada masyarakat sebagai kesinambungan visi Baitun Nuur dalam memperluas manfaat pendidikan dan pembudayaan ilmu kepada komuniti," ujarnya.
Mereka membawa pulang wang tunai RM3,000, sijil pengiktirafan dan bahan bacaan yang disampaikan oleh Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi HIjau, Digital dan Inovasi YB Dato' Wan Roslan Wan Hamat sempena Majlis Perasmian Hari Iqra' dan Pesta Buku Darul Naim 2026 di Mydin Mall, Tunjong, hari ini.
Sementara itu, bagi kategori Ikon Individu Membaca pula, Ahmad Safarman, 47, yang juga guru di Sekolah Kebangsaan Mentera, Kota Bharu dinobatkan sebagai juara menerusi komitmennya menjadikan pembacaan sebagai sebahagian daripada proses pembinaan ilmu dan sahsiah.
Ahmad Safarman
Anak kelahiran Kota Bharu itu memiliki Ijazah Sastera dalam bidang Bahasa dan Linguistik Melayu dari Universiti Putra Malaysia (UPM) sebelum mengikuti Kursus Perguruan Lepasan Ijazah dalam bidang Pengajian Melayu di Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) Kampus Perlis.
Ahmad Safarman berkata, penyertaannya bukan semata-mata untuk mengejar kemenangan, sebaliknya mahu membuktikan bahawa budaya membaca boleh terus subur tanpa dibatasi usia, kesibukan atau cabaran kehidupan.
“Mungkin kita tidak mampu memiliki seluruh dunia tetapi dengan membaca, seluruh dunia mampu hadir dalam diri kita.
“Membaca bukan untuk kelihatan hebat di hadapan orang lain, tetapi supaya menjadi manusia yang lebih baik dari semalam,” katanya yang meraih wang tunai RM2,000, sijil pengiktirafan dan bahan bacaan.
Pertandingan berprestij tersebut merupakan anjuran Perbadanan Perpustaan Awam Negeri Kelantan (PPAK) yang dilaksanakan secara dwitahunan dengan kerjasama Kerajaan Negeri Kelantan dan Dewan bahasa dan Pustaka Wilayah Timur (DBPWT).
Pengarah PPAK Diana Melati Muhammad mengucapkan syabas kepada semua para pemenang bagio setiap kategori.
Beliau turut mengakui kejayaan Maktabah Al-Ghazali dan Ahmad Safarman memperlihatkan pembudayaan membaca berkembang apabila ilmu diterjemahkan kepada pemikiran, penulisan, pembentukan peribadi serta manfaat kepada keluarga dan masyarakat.










