Rawatan tanah KB Sentral capai 73 peratus, pembinaan fizikal disasar bermula awal 2027
-
10 September 2026
-
Oleh: Irham Hilmi Hashim
-
33
KOTA BHARU, 10 September – Kemajuan kerja rawatan tanah di tapak KB Sentral (Terminal Bas Kelantan) kini mencapai 73 peratus, meningkat daripada 45 peratus ketika Persidangan Dewan Negeri pada minggu kedua Ogos.
Sehubungan itu, Exco Kerjaraya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar YB Dato’ Dr. Izani Husin memaklumkan, proses seterusnya melibatkan kerja penambakan tanah selepas penambakan pasir selesai, dengan tanah akan ditambak lagi setinggi kira-kira 3.3 kaki bagi menyelaraskan keseluruhan ketinggian tapak dengan tapak ECRL pada paras 8.35 meter.
“Pihak kontraktor komited untuk menyiapkan kerja penambakan ini dalam tempoh dua bulan dan kita memberikan tambahan masa selama dua minggu lagi bagi melengkapkan kerja tersebut,” katanya pada sidang media selepas beliau melaksanakan tinjauan ke tapak projek berkenaan, di sini, hari ini.
Mengulas perkembangan terdahulu, beliau berkata kontrak dengan kontraktor lama telah ditamatkan secara persetujuan bersama (mutual termination), sebelum proses pembangunan dimulakan semula dari awal dengan kajian terhadap harga serta tapak tanah.
“Kerja struktur tapak ini memerlukan pembuangan tanah asal setinggi satu meter dan penambakan semula setinggi 10.3 meter. Buat masa ini, kita membuka tawaran melalui kaedah Request for Proposal (RFP) tanpa menetapkan harga siling atas atau bawah,” jelasnya.
Beliau juga menjelaskan, pembangunan tersebut akan dilaksanakan menerusi kaedah Build Operate Transfer (BOT), dengan syarat utama bagi pemaju atau kontraktor yang berminat ialah mempunyai kedudukan kewangan yang kukuh serta kepakaran berkaitan.
"Spesifikasi terminal pula merangkumi terminal bas Gred A, kemudahan jejambat pejalan kaki yang menghubungkan terminal dengan stesen ECRL serta reka bentuk yang menerapkan seni bina dan identiti kebudayaan Kelantan, khususnya pada bahagian bumbung.
"Penyediaan dokumen RFP dijangka dimuktamadkan pada akhir September manakala pembinaan fizikal disasarkan bermula awal 2027 dan dijangka siap sepenuhnya menjelang akhir tahun 2028," ujarnya.












