Ibu bapa diseru jadikan buku sahabat keluarga - Exco Pendidikan
-
10 September 2026
-
Oleh: Norzana Razaly
-
30
KOTA BHARU, 10 September - Ibu bapa diseru menjadikan buku sebagai sahabat keluarga dengan mewujudkan suasana rumah yang dekat dengan ilmu bagi memupuk budaya membaca dalam kalangan anak-anak sejak usia kecil.
Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi YB Dato' Wan Roslan Wan Hamat berkata, usaha membudayakan pembacaan perlu bermula daripada institusi keluarga dengan memberi peluang kepada anak-anak mendampingi buku dan meneroka ilmu secara berterusan.
“Bawalah anak-anak ke perpustakaan. Berikan mereka ruang untuk mengenali buku, membaca cerita, meneroka ilmu dan membina imaginasi.
“Anak-anak yang dibiasakan dengan buku sejak kecil, insya Allah akan membesar sebagai insan yang lebih berpengetahuan, kreatif dan berfikiran luas,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mewakili Menteri Besar Kelantan YAB Dato’ Panglima Perang Ustaz Dato’ Mohd Nassuruddin Daud merasmikan Majlis Hari Iqra’ dan Pesta Buku Darulnaim 2026 di Mydin Mall Tunjong, di sini, hari ini.
Menurut Dato' Wan Roslan, perpustakaan juga mempunyai peranan penting yang perlu terus diperkasakan sebagai pusat ilmu, pusat komuniti, ruang pembelajaran sepanjang hayat dan platform pembangunan masyarakat.
“Perpustakaan perlu menjadi tempat yang dekat dengan rakyat daripada kanak-kanak, pelajar, golongan belia, penjawat awam, usahawan sehinggalah warga emas,” jelasnya.
Sehubungan itu, beliau berharap Perbadanan Perpustakaan Awam Kelantan (PPAK) terus memperluas akses kepada ilmu dan bahan bacaan untuk seluruh rakyat negeri ini termasuk masyarakat di kawasan luar bandar.
Katanya lagi, perkembangan teknologi digital turut menuntut perkhidmatan perpustakaan bergerak seiring perubahan semasa menerusi penyediaan koleksi digital, program literasi maklumat serta inovasi yang mampu menarik lebih ramai masyarakat mendekati ilmu.
Walau bagaimanapun, beliau mengingatkan kemajuan teknologi tidak seharusnya menyebabkan budaya membaca semakin terpinggir.
“Di sebalik kemajuan teknologi, kita jangan sesekali membiarkan budaya membaca semakin terpinggir. Teknologi boleh menjadi alat untuk mendapatkan ilmu tetapi buku tetap menjadi salah satu jendela terbaik untuk membentuk pemikiran manusia,” ujarnya.
Beliau optimis, pembudayaan membaca yang bermula dari rumah dan disokong oleh perpustakaan yang responsif terhadap perkembangan digital mampu membentuk masyarakat berilmu, kreatif serta mempunyai budaya pembelajaran sepanjang hayat.










