PPAK rekod 80,410 pengunjung, Pesta Buku Darul Naim perkasa budaya membaca
-
10 September 2026
-
Oleh: Norzana Razaly
-
42
KOTA BHARU, 10 September – Perbadanan Perpustakaan Awam Kelantan (PPAK) merekodkan 80,410 pengunjung sepanjang 2025, dengan pertambahan 1,839 ahli berdaftar serta 36,864 naskhah bahan perpustakaan dipinjam, sekali gus membuktikan institusi perpustakaan kekal relevan sebagai pusat ilmu, pembelajaran sepanjang hayat dan ruang komuniti.
Seiring pencapaian itu, penganjuran Hari Iqra dan Pesta Buku Darul Naim 2026 menjadi antara usaha berterusan PPAK untuk menyemarakkan budaya membaca, mendekatkan masyarakat dengan buku serta memperkukuh ekosistem ilmu di Kelantan.
Timbalan Exco Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat YB Bahari Mohd Nor berkata, penganjuran program berkenaan amat bertepatan dengan usaha membudayakan amalan membaca dalam kalangan rakyat khususnya generasi muda.
“Program seperti ini menjadi wadah penting untuk mendekatkan masyarakat dengan buku, penulis, penerbit, perpustakaan serta pelbagai sumber ilmu yang tersedia,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan alu-aluan mewakili Exco Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat YB Zamakhshari Muhamad sempena perasmian Hari Iqra dan Pesta Buku Darul Naim 2026 di Mydin Mall Tunjong, di sini, hari ini.
Timbalan Exco Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat, YB Bahari Mohd Nor
Menurutnya yang juga Timbalan Pengerusi PPAK, jika penganjuran sebelum ini lebih tertumpu kepada aktiviti galakan membaca dan jualan buku, edisi 2026 ditransformasikan menjadi sebuah festival ilmu yang menggabungkan elemen pembacaan, keluarga, komuniti, teknologi, penulis, industri buku dan ekonomi kreatif dalam satu ekosistem.
"Antara pengisian signifikan tahun ini ialah penganugerahan Anugerah Ikon Membaca dan Anugerah Ikon Keluarga Membaca Negeri Kelantan menerusi Program Keluargaku Keluarga Membaca (KKM).
"Program yang menjadi inisiatif PPAK sejak 2022 itu menerima penyertaan 195 peserta dari seluruh Kelantan dan bertujuan membudayakan amalan membaca melalui institusi keluarga, selain memberikan pengiktirafan kepada keluarga yang konsisten menjadikan pembacaan sebagai sebahagian daripada kehidupan harian," jelasnya.
Turut dinobatkan ialah pemenang Pertandingan Ruang Bacaan Keluarga anjuran Perpustakaan Negara Malaysia dengan kerjasama PPAK.
Pertandingan berkenaan bertujuan menyemai budaya membaca dalam keluarga serta menggalakkan penyediaan ruang bacaan yang selesa dan kondusif di rumah.
Sebanyak 15 penyertaan diterima tahun ini, merangkumi 11 penyertaan bagi kategori Rumah Bertanah dan empat bagi kategori Rumah Kampung.
Sementara itu, Pesta Buku Darul Naim 2026 yang berlangsung selama lima hari bermula 9 hingga 13 September menyediakan pelbagai pengisian khusus untuk kanak-kanak, belia dan keluarga.
Pengunjung turut berpeluang mendapatkan dan menebus Baucar Buku MADANI bernilai RM10 menerusi sumbangan Perbadanan Kota Buku yang menyediakan baucar keseluruhan bernilai RM30,000 sebagai insentif khas kepada pengunjung pesta buku berkenaan.
Pesta buku itu juga menghimpunkan 45 pembekal dari seluruh Malaysia yang menawarkan pelbagai bahan bacaan bercetak dan digital berkualiti pada harga berpatutan.
Menarikmya, edisi kali ini turut menawarkan sesi temu mesra bersama penulis dan tokoh kreatif antaranya Sasterawan Kelantan Rosli K. Matari dan S.M. Zakir, Ustaz Amar BEDAIE serta kartunis terkenal Ujang.










