Penduduk Pahi diminta waspada serangan gajah liar - YB Hilmi
-
10 September 2026
-
Oleh: Irham Hilmi Hashim | Kredit foto: Media YB Hilmi Abdullah
-
27
KOTA DARULNAIM, 10 September — Penduduk di kawasan Pahi, Lepan Kabu, Bunut Saih dan Peria Kuala Krai diminta meningkatkan kewaspadaan susulan kejadian seorang warga emas maut akibat serangan gajah liar di Ladang Lepan Kabu, Pahi, semalam.
Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar YB Hilmi Abdullah berkata demikian menerusi perkongsian di media sosialnya selepas mengimamkan solat jenazah mangsa di Masjid Mukim Pahi, awal pagi tadi.
Menurutnya, mangsa Ghazali Setapa, 66, meninggal dunia di tempat kejadian dalam insiden yang berlaku kira-kira pukul 3.30 petang selepas dipercayai diserang seekor gajah ketika berada di kawasan hutan berhampiran ladang.
“Pada petang semalam, saya bergegas pulang ke Kuala Krai selepas menerima berita daripada Penghulu Pahi Khairul Anuar, yang memaklumkan mengenai kejadian kematian melibatkan serangan gajah di Ladang Lepan Kabu Pahi,” katanya.
Menurutnya, mangsa masuk ke kawasan ladang bersama anaknya dan tiga individu lain untuk melihat lembu peliharaan sebelum mereka menemui najis gajah serta mendapati lembu berkenaan telah hilang dari kawasan peliharaan. Mereka kemudiannya berpecah kepada dua kumpulan bagi menjalankan pencarian sebelum kumpulan bersama mangsa terlihat seekor gajah di kawasan hutan berdekatan.
“Apabila terlihat gajah tersebut, mangsa turut masuk ke kawasan hutan untuk melihat dengan lebih dekat sebelum mereka dikejar gajah berkenaan. Mangsa kemudiannya ditemui dalam keadaan cedera parah di tempat kejadian sebelum anggota PDRM bersama pegawai kesihatan memasuki kawasan berkenaan dan mengesahkan kematiannya,” katanya.
Dalam pada itu, YB Hilmi berkata jenazah mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Sultan Ismail Petra Kuala Krai untuk bedah siasat sebelum urusan pengkebumian disempurnakan. Menurutnya, jenazah selesai dimandikan dan dikafankan kira-kira pukul 12.15 malam sebelum dibawa ke Masjid Mukim Pahi untuk disolatkan.
“Usai solat jenazah pada pukul 12.45 tengah malam, jenazah kemudiannya dibawa ke Tanah Perkuburan Islam Kampung Pahi untuk dikebumikan. Terima kasih kepada semua yang telah membantu menyempurnakan urusan jenazah bermula sejak petang semalam sehingga selamat dikebumikan awal pagi tadi,” jelasnya.
Sehubungan itu, beliau meminta penduduk di kawasan Pahi, Lepan Kabu, Bunut Saih dan Peria supaya sentiasa berwaspada serta berhati-hati berikutan kejadian berkenaan. Kes tersebut juga telah dilaporkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) untuk tindakan lanjut.









