Jerayawara Pengurusan Warisan perkukuh tadbir urus warisan negeri
-
10 September 2026
-
Oleh: Asri Hamat | Kredit foto: FB Datuk Kamarudin
-
28
KOTA DARULNAIM, 10 September - Program Jerayawara Pengurusan Warisan merupakan langkah strategik melalui pendekatan turun padang dan libat urus secara langsung bersama pelbagai pihak berkepentingan bagi memastikan khazanah warisan negara dipelihara, dilindungi dan diurus secara lebih tersusun serta bersepadu.
Exco Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan YB Datuk Kamarudin Md Nor berkata program berkenaan penting dalam memastikan usaha pengurusan warisan dapat dilaksanakan secara berterusan dan lebih berkesan.
Katanya, pelaksanaan program itu juga selaras dengan visi dan misi Jabatan Warisan Negara (JWN) dalam memastikan kelestarian warisan terus terpelihara untuk generasi masa kini dan akan datang.
"Pada masa yang sama, ia turut mendukung matlamat Pelan Strategik Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) untuk memperkasakan pelancongan berasaskan warisan sebagai antara pemacu ekonomi negara," katanya menerusi media sosial, pada Rabu.
Exco Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, YB Datuk Kamarudin Md Nor
Menurutnya lagi, warisan adalah jati diri, identiti dan khazanah bangsa yang perlu dipelihara dengan penuh rasa tanggungjawab.
"Dalam konteks Negeri Kelantan yang kaya dengan kepelbagaian seni, budaya, adat resam, sejarah serta warisan ketara dan tidak ketara, usaha pengurusan warisan secara sistematik amat signifikan bagi memastikan segala khazanah ini terus kekal relevan dan dihargai," jelasnya.
Terdahulu, beliau merasmikan Program Jerayawara Pengurusan Warisan Siri 3 Tahun 2026 Zon Pantai Timur di sebuah hotel di Kota Bharu.
Program itu merupakan inisiatif anjuran JWN dalam usaha memperkukuh tadbir urus serta pengurusan warisan di peringkat negeri.
Menurut Datuk Kamarudin lagi, program berkenaan juga bertepatan dengan aspirasi Dasar Kebudayaan Kebangsaan (DAKEN) dalam memperkukuh identiti nasional melalui pemeliharaan khazanah negara secara menyeluruh.
"Semoga penganjuran Jerayawara Pengurusan Warisan ini dapat menjadi platform terbaik untuk memperkukuhkan kerjasama antara Jabatan Warisan Negara, Kerajaan Negeri, agensi-agensi berkaitan serta rakan-rakan strategik dalam memastikan agenda pemeliharaan dan pemuliharaan warisan negara dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan," ujarnya.












