Accessibility Tools

Skip to main content

676 Rumah Dhuafa' dibina percuma, kos RM33.3 juta

  • 09 September 2026
  • Oleh: Irham Hilmi Hashim
  • 36

KOTA DARULNAIM, 9 September— Sebanyak 676 buah Rumah Dhuafa' dibina secara percuma di seluruh Kelantan dalam tempoh 2020 hingga 2025, membabitkan kos keseluruhan RM33,309,400 bagi membantu golongan yang memerlukan.

Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar YB Hilmi Abdullah berkata demikian menerusi perkongsian di media sosialnya selepas membuat kunjungan meninjau perkembangan pembinaan Rumah Dhuafa' untuk penerima di Kampung Baru Pahi dan Kampung Hamzah, Kuala Krai, semalam.

“Alhamdulillah, saya berasa sangat bersyukur dan gembira selepas melihat Rumah Dhuafa' yang dibina khas untuk Abe Mat Hussin telah siap dicat dan kini hanya menunggu penyambungan bekalan air serta elektrik,” katanya.

Menurutnya, Rumah Dhuafa' berkenaan dibina untuk Abe Mat Hussin @ Mohd Hussain Haron, 59, dan isteri yang merupakan pasangan orang kurang upaya (OKU), hidup sebatang kara tanpa anak serta banyak bergantung kepada bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan sumbangan penduduk sekitar.

“Rumah ini hanya mempunyai satu bilik tidur, ruang tamu, dapur dan satu tandas. Rasanya sudah cukup selesa untuk mereka tinggal berdua,” katanya sambil memaklumkan hasrat mengadakan solat hajat dan jamuan serta menyerahkan kunci rumah berkenaan pada 15 Oktober depan.

Sementara itu, YB Hilmi turut meninjau perkembangan Rumah Dhuafa' untuk Imran @ Asrul Imran Abdullah, 46,  di Kampung Hamzah yang hampir siap dan dijangka disiapkan sebelum berakhir Disember 2026 untuk diserahkan kunci pemilikan kosong.

“Walau bagaimanapun, inilah lot tanah yang dimiliki oleh Encik  Imran untuk membina kehidupan berkeluarga yang mawaddah, sakinah dan rahmah,” katanya.

Dalam pada itu, menurutnya, setiap DUN menerima peruntukan untuk membina empat unit Rumah Dhuafa' setahun bernilai RM65,000 seunit, menjadikan sebanyak 180 unit dibina setiap tahun di seluruh Kelantan. Syarat utama pemohon ialah memiliki tanah sendiri dan mempunyai ahli keluarga yang ramai kecuali bagi OKU.

Selain Rumah Dhuafa', katanya, terdapat juga bantuan kediaman lain untuk golongan asnaf seperti Rumah MAIK yang dibina oleh MAIK dan rumah PPRT oleh Kerajaan Persekutuan.

Manakala Rumah SPNB pula melibatkan pinjaman serta bayaran ansuran bulanan dengan subsidi 30 peratus daripada nilai rumah. 

Bagi Jajahan Kuala Krai, usaha mencari tanah yang sesuai untuk pembinaan rumah PPR juga sedang dilaksanakan.

Pautan berjaya disalin!