Kelantan-ECERDC perkasa kerjasama, manfaatkan pembangunan terus kepada rakyat
-
09 September 2026
-
Oleh: Syamimi Manah
-
30
KOTA DARULNAIM, 9 September - Kerajaan Negeri Kelantan komited memperkasakan kerjasama dengan Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) bagi memastikan pelaksanaan projek pembangunan negeri terus memberi manfaat kepada rakyat.
Menteri Besar Kelantan YAB Dato’ Panglima Perang Ustaz Dato’ Mohd Nassuruddin Daud berkata, kerjasama yang terjalin antara Kerajaan Negeri dan ECERDC perlu terus diperkukuh, khususnya dalam membuka lebih banyak peluang pembangunan dan manfaat kepada rakyat Kelantan.
Beliau berkata demikian selepas menerima kunjungan Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC Syamsul Farizz Nadzeri, di pejabatnya pada 6 September.
“Semoga kerjasama yang terjalin antara Kerajaan Negeri Kelantan dan ECER terus diperkukuh, khususnya dalam membuka lebih banyak peluang pembangunan dan manfaat kepada rakyat Kelantan. Insya Allah,” katanya di laman rasmi, pada Ahad.
Sementara itu, ECERDC menerusi kenyataan di laman rasmi memaklumkan pertemuan tersebut bagi membincangkan perkembangan projek serta keutamaan pembangunan negeri.
Pelaksanaan projek-projek ECERDC di Kelantan merangkumi beberapa bidang utama termasuk kesalinghubungan, pelancongan, pembangunan industri dan pelaburan melalui kerjasama antara Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri serta agensi berkaitan.
Lawatan kerja Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC itu turut merangkumi tinjauan ke beberapa projek di Kelantan, antaranya Jambatan Palekbang, Zon Pelancongan Bersepadu Pantai Geting (GITZ), Taman Perikanan Bersepadu Tok Bali (TBIFP), Taman Industri Tok Bali (TBIP) dan Laman Warisan Kampung Laut.










