MB Kelantan zahir takziah atas pemergian Dr. Ainul
-
09 September 2026
-
Oleh: Syamimi Manah
-
32
KOTA DARULNAIM, 9 September - Menteri Besar Kelantan YAB Dato’ Panglima Perang Ustaz Dato’ Mohd Nassuruddin Daud menzahirkan ucapan takziah atas pemergian anak kelahiran Kota Bharu Allahyarhamah Dr. Ainul Baraah Kamaruddin yang terkorban dalam nahas helikopter ketika menjalankan amanah perkhidmatan Flying Doctor Service (FDS) di pedalaman Sarawak.
Beliau menyifatkan pemergian Allahyarhamah sebagai satu kehilangan buat Kelantan, khususnya kerana Allahyarhamah telah mengabdikan ilmu dan khidmatnya bagi membantu masyarakat yang memerlukan di kawasan pedalaman Sarawak.
“Mendapat pengesahan rasmi yang amat menyayat hati atas pemergian Allahyarhamah Dr. Ainul Baraah Kamaruddin, anak kelahiran Kota Bharu, Kelantan, ketika menjalankan amanah menerusi perkhidmatan Flying Doctor Service (FDS) untuk masyarakat pedalaman Sarawak.
“Perginya ketika sedang berkhidmat, membawa rawatan dan harapan kepada mereka yang memerlukan. Kelantan kehilangan seorang anak yang telah mengabdikan ilmu dan khidmatnya jauh di pedalaman demi kemanusiaan,” katanya di laman rasmi, semalam.
Sehubungan itu, beliau turut menyampaikan salam takziah kepada seluruh keluarga mangsa yang terlibat serta mendoakan agar Allah SWT merahmati Allahyarhamah dan menerima segala khidmat baktinya sebagai amal soleh.
“Semoga Allah SWT merahmati Allahyarhamah, menerima segala khidmat baktinya sebagai amal soleh dan menempatkannya bersama para solihin. Al-Fatihah,” ujarnya.
Dalam kejadian itu, sebuah helikopter jenis BO-105 yang digunakan bagi operasi FDS dilaporkan terhempas berhampiran Long Lellang, Ulu Baram, Sarawak ketika dalam penerbangan bagi melaksanakan tugasan perkhidmatan kesihatan ke kawasan pedalaman, semalam.
Helikopter berkenaan membawa lima individu termasuk juruterbang dan empat petugas kesihatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), terdiri daripada seorang pegawai perubatan, seorang penolong pegawai perubatan dan dua jururawat.
FDS merupakan perkhidmatan kesihatan udara yang memainkan peranan penting dalam menyediakan rawatan kepada penduduk di kawasan pedalaman Sarawak yang sukar diakses melalui jalan darat.
Perkhidmatan berkenaan turut melibatkan penghantaran bekalan perubatan serta vaksin dan misi evakuasi perubatan bagi pesakit yang memerlukan.








