Accessibility Tools

Skip to main content

YB Hilmi bawa suara penduduk, mohon RAC pertimbang tempoh pengosongan

  • 09 September 2026
  • Oleh: Irham Hilmi Hashim
  • 28

KOTA DARULNAIM, 9 September – Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar YB Hilmi Abdullah membawa suara penduduk yang terkesan dengan notis pengosongan kediaman di atas tanah Perbadanan Aset Keretapi (RAC) dengan memohon supaya tempoh pengosongan dipertimbangkan semula demi kebajikan penghuni terlibat.

Beliau berkata, permohonan itu mengambil kira keadaan penduduk yang telah lama mendiami kawasan berkenaan, selain faktor kebajikan golongan rentan serta anak-anak yang bakal menduduki peperiksaan utama dalam tempoh terdekat.

Perkara itu dinyatakan menerusi media sosialnya selepas mengadakan pertemuan dengan sebahagian penduduk yang menerima notis pengosongan berkenaan di Pusat Khidmat DUN Guchil, semalam.

“Penduduk yang tinggal di sini sebenarnya bukanlah seorang penceroboh, sebaliknya mereka adalah penyewa dan pemegang lesen serta mempunyai hak benefisial atas tanah tersebut kerana wujudnya surat tawaran dan perjanjian bertulis disertai dengan bayaran sewa bulanan kepada RAC,” katanya.

Menurut YB Hilmi, notis pengosongan yang dikeluarkan RAC menetapkan bangunan berkenaan perlu dikosongkan dalam tempoh 30 hari berkuat kuasa pada 14 September ini bagi memberi laluan kepada kerja penstabilan dan 're-profile' cerun di landasan kereta api di Kelantan di bawah seliaan Kementerian Pengangkutan.

Beliau berpandangan kewujudan surat tawaran dan perjanjian bertulis antara penghuni dengan RAC turut wajar diambil kira dalam proses pengosongan tersebut.

“Berikutan wujudnya surat tawaran dan perjanjian bertulis tersebut, pihak RAC sepatutnya mengeluarkan notis penamatan yang sah terlebih dahulu dalam tempoh yang munasabah sebelum dikeluarkan notis pengosongan,” jelasnya.

YB Hilmi turut menyatakan, tempoh 30 hari yang diberikan wajar dipertimbangkan semula memandangkan sebahagian penduduk telah menetap di kawasan tersebut lebih 30 tahun, malah ada yang mencecah 50 tahun.

Menurutnya, kebimbangan ibu bapa yang mempunyai anak sedang membuat persiapan menghadapi peperiksaan seperti Ujian Penilaian Kelas KAFA (UPKK), Sijil Menengah Ugama (SMU), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) antara September hingga November ini turut perlu diberikan perhatian.

“Unsur belas ihsan, empati dan kemanusiaan perlu ada dan diberi pertimbangan yang sewajarnya kerana ada sebahagian penghuni di sini daripada golongan OKU, warga emas, ibu tunggal, anak yatim dan fakir miskin,” katanya.

Sehubungan itu, YB Hilmi memaklumkan, beliau akan mengemukakan surat rayuan kepada Pengerusi RAC yang juga Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan bagi memohon tarikh kuat kuasa pengosongan dilanjutkan.

Beliau juga berusaha mengatur pertemuan pada 15 September atau mana-mana tarikh sebelum 19 September ini bagi membincangkan perkara berkenaan secara harmoni.

Pada masa sama, pihak RAC akan diundang mengadakan sesi dialog bersama penduduk terlibat bagi memberi penerangan mengenai pelaksanaan projek serta membuka ruang kepada penghuni menyuarakan perkara yang membabitkan kebajikan mereka.

YB Hilmi berharap pendekatan rundingan itu dapat menemukan penyelesaian yang wajar dan seimbang dengan mengambil kira keperluan pelaksanaan projek keselamatan landasan kereta api serta kebajikan penduduk yang terkesan.

Pautan berjaya disalin!