MB Kelantan santuni sembilan mangsa kebakaran di Wakaf Bharu
-
09 September 2026
-
Oleh: Asri Hamat
-
30
KOTA DARULNAIM, 9 September - Menteri Besar Kelantan YAB Dato' Panglima Perang Ustaz Dato' Mohd Nassuruddin Daud menyantuni sembilan mangsa kebakaran yang memusnahkan lima kedai dan dua kiosk di hadapan Wisma Majlis Daerah Tumpat (MDT), Wakaf Bharu, Tumpat.
Beliau yang berkunjung ziarah semalam turut menzahirkan rasa simpati terhadap mangsa yang terkesan akibat kejadian kebakaran yang berlaku tiga hari lalu.
Katanya, kejadian berkenaan bukan sesuatu yang mudah untuk dilalui, namun setiap ujian daripada Allah SWT adalah tanda kasih sayang-Nya kepada hamba-Nya yang menjadi sebab terhapusnya dosa serta mengangkat darjat di sisi-Nya.
"Sebagai tanda prihatin, saya bersama pimpinan Kerajaan Negeri turun menyantuni mangsa-mangsa dan menyampaikan sedikit sumbangan bagi membantu meringankan beban yang ditanggung," katanya menerusi satu hantaran di media sosial, pada Selasa.
Salah seorang mangsa, pemilik Teratai Mini Market Ustaz Abdullah Awang merupakan guru yang pernah mendidik Menteri Besar Kelantan suatu ketika dahulu.
Turut hadir, beberapa Ahli Exco Kerajaan Negeri, Ahli Dewan Negeri (ADN) Wakaf Bharu YB Mohd Rusli Abdullah yang sebelum ini menghulurkan bantuan awal kepada mangsa serta Ketua Jajahan Tumpat Mohamad Nazwan Ismail.
Menteri Besar Kelantan turut merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada pihak bomba yang bertungkus-lumus memadamkan kebakaran.
Beliau berharap semua mangsa diberikan kekuatan dan kesabaran serta dipermudahkan segala urusan untuk bangkit kembali.
"Insya Allah, setiap kesulitan akan disusuli kemudahan," katanya.












