Kemajuan sembilan venue SUKMA Kelantan 2028 capai 47.55 peratus
-
08 September 2026
-
Oleh: Syamimi Manah
-
34
KOTA DARULNAIM, 8 September - Persiapan Kelantan menjelang penganjuran SUKMA 2028 terus menunjukkan perkembangan apabila pembangunan sembilan venue dan kemudahan berkaitan kini mencapai purata kemajuan sebenar 47.55 peratus, termasuk dua projek yang telah melepasi tahap 80 peratus.
Exco Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat Negeri Kelantan YB Zamakhshari Muhamad berkata perkembangan itu berdasarkan kemas kini status projek pada 20 Ogos 2026.
“Berdasarkan kemas kini pada 20 Ogos 2026, kemajuan sembilan projek pembangunan venue dan kemudahan berkaitan SUKMA Kelantan 2028 mencatat purata 47.55 peratus,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Menurutnya, kerja tanah dan pembinaan jalan masuk utama telah siap sepenuhnya pada 18 Ogos 2026, manakala Kompleks Sukan Bandar Jeli mencatat kemajuan sebenar sebanyak 84.05 peratus, berbanding jadual 83.60 peratus.
Exco Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat Negeri Kelantan, YB Zamakhshari Muhamad
Katanya, kontrak kerja pembinaan infrastruktur dan lain-lain kerja berkaitan pula merekodkan kemajuan sebanyak 57.51 peratus.
“Stadium Utama Bukit Merbau (reka dan bina) mencatat kemajuan sebenar 40.76 peratus manakala Lapangan Sasar Menembak mencapai 47.61 peratus berbanding jadual 45.07 peratus,” ujarnya.
Beliau berkata, Stadium Hoki pula mencatat kemajuan sebenar 19.72 peratus manakala Arena Tertutup Serbaguna mencapai 24.05 peratus.
Sementara itu, Pusat Skuasy dan Gelanggang Lawn Bowl Berbumbung merekodkan kemajuan sebenar 23.25 peratus sementara Pusat Akuatik sudah mencapai kemajuan 31 peratus.
Tambahnya, perkembangan pembangunan venue berkenaan merupakan antara persiapan penting Kerajaan Negeri Kelantan bagi memastikan kemudahan sukan dan infrastruktur berkaitan berada pada tahap yang sewajarnya menjelang penganjuran SUKMA Kelantan 2028.










