Kelantan berhajat perkasa industri hiliran berasaskan kayu
-
08 September 2026
-
Oleh: Asri Hamat
-
25
KOTA BHARU, 8 September - Kerajaan Negeri Kelantan berhajat untuk bergerak ke arah pembangunan industri hiliran berasaskan kayu yang mempunyai nilai tambah lebih tinggi.
Menteri Besar Kelantan YAB Dato' Panglima Perang Ustaz Dato' Mohd Nassuruddin Daud berkata kayu yang dikeluarkan dari negeri itu seharusnya mampu menghasilkan nilai ekonomi lebih besar menerusi pengeluaran perabot, komponen binaan, produk kayu kejuruteraan dan pelbagai produk hiliran lain.
Katanya, langkah berkenaan penting bagi memastikan lebih banyak nilai ekonomi dapat diwujudkan dalam negeri.
"Janganlah sumber kita seperti kayu hanya dikeluarkan dalam bentuk bahan mentah, sedangkan nilai tambah dan peluang pekerjaan yang lebih besar dinikmati di tempat lain.
"Untuk merealisasikan hasrat itu, saya percaya hubungan antara Kerajaan Negeri dengan pihak industri tidak seharusnya bersifat satu hala."
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perjumpaan YAB Menteri Besar Bersama Jabatan Perhutanan, agensi-agensi berkaitan serta pengusaha industri pembalakan dan perladangan hutan Negeri Kelantan di sebuah hotel di Kota Bharu, malam tadi.
Sehubungan itu, beliau menyeru Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan dan agensi berkaitan supaya terus memperkukuh kerjasama serta komunikasi dengan pihak industri.
Katanya, langkah tersebut penting bagi memastikan proses pentadbiran dan penguatkuasaan dapat dilaksanakan secara profesional, telus dan berkesan.
"Setiap aduan dan permasalahan yang dikemukakan oleh pihak industri hendaklah diteliti berdasarkan bidang kuasa dan peraturan yang ditetapkan.
"Kerajaan begeri mahu satu ekosistem kerjasama yang membolehkan masalah dikenal pasti lebih awal dan diselesaikan sebelum menjadi lebih besar.
"Saya percaya pendekatan kerajaan dan industri sebagai rakan strategik akan memberikan hasil yang lebih baik kepada pembangunan sektor perhutanan negeri," jelasnya.
Menurutnya lagi, kerajaan mempunyai tanggungjawab menyediakan dasar yang jelas, proses kelulusan yang teratur, penguatkuasaan yang adil serta ruang untuk industri menyampaikan pandangan dan permasalahan.
Pada masa sama, beliau berkata pihak industri perlu melaksanakan tanggungjawab masing-masing dengan penuh amanah.
"Sekiranya terdapat isu, saya menggalakkan pihak pengusaha untuk mengemukakannya melalui saluran yang betul.
"Kita boleh berbeza pandangan tetapi matlamat kita mesti sama iaitu untuk membangunkan Kelantan dan memberikan manfaat kepada rakyat.
"Apa yang boleh diselesaikan melalui perbincangan, kita bincangkan. Apa yang boleh ditambah baik dari segi prosedur, kita perbaiki dan apa yang perlu dikuatkuasakan demi kepentingan negeri, rakyat dan alam sekitar, kita laksanakan dengan tegas, telus dan adil," ujarnya.










