Accessibility Tools

Skip to main content

Penyelia DUN Nenggiri santuni keluarga mangsa kebakaran di Limau Kasturi

  • 08 September 2026
  • Oleh: Syamimi Manah
  • 28

GUA MUSANG, 8 September - Penyelia DUN Nenggiri Rizwadi Ismail menzahirkan keprihatinan terhadap nasib keluarga mangsa kebakaran di Batu 14, Serian, Kampung Limau Kasturi dengan menziarahi keluarga berkenaan, baru-baru ini.

Kunjungan tersebut turut disertai Penggawa Bertam Mohd Azhar Mohd Nordin serta Penghulu Limau Kasturi Shaffien Mahmood sebagai tanda prihatin terhadap keluarga Noor Farizan Derani yang ditimpa musibah.

Rizwadi berkata, kebakaran yang berlaku pada 4 Ogos 2026 kira-kira pukul 1.25 pagi itu mengakibatkan banyak barangan milik keluarga mangsa musnah.

“Dalam ziarah tersebut, saya turut meninjau keadaan kawasan yang terjejas akibat kebakaran. Banyak barangan milik keluarga mangsa telah musnah dalam kejadian tersebut.

“Sebagai tanda keprihatinan, turut disampaikan sedikit sumbangan kepada keluarga mangsa bagi membantu meringankan beban mereka dalam menghadapi ujian ini,” katanya di laman rasmi, semalam.

Beliau turut mendoakan agar keluarga Noor Farizan terus diberikan kekuatan, kesabaran dan ketabahan dalam menghadapi musibah berkenaan.

Rizwadi berharap segala urusan keluarga mangsa dipermudahkan serta mereka dikurniakan rezeki dan menerima bantuan daripada pelbagai pihak bagi meringankan beban yang ditanggung.

Beliau turut mengajak orang ramai bersama-sama mendoakan agar keluarga mangsa terus tabah serta dipermudahkan segala urusan dalam menghadapi ujian tersebut.

Pautan berjaya disalin!