Accessibility Tools

Skip to main content

Penambahbaikan kemudahan KIAS demi keselesaan pelajar - Dato' Wan Roslan

  • 08 September 2026
  • Oleh: Irham Hilmi Hashim
  • 39

KOTA DARULNAIM, 8 September — Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi YB Dato’ Wan Roslan Wan Hamat berkata usaha penambahbaikan kemudahan di Kolej Universiti Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS) terus diberi perhatian bagi memastikan persekitaran pembelajaran yang lebih selesa dan kondusif kepada seluruh warga institusi berkenaan.

Menurutnya, usaha penambahbaikan akan diteruskan secara berperingkat demi keselesaan seluruh warga KIAS serta memperkukuh peranan institusi tersebut sebagai institusi pengajian tinggi Islam di Negeri Kelantan.

"Tinjauan secara langsung penting bagi memastikan kerja-kerja penambahbaikan yang dirancang dapat dilaksanakan dengan baik selain mengenal pasti perkara yang masih memerlukan perhatian dan tindakan susulan."

Beliau berkata demikian menerusi media sosialnya selepas mengadakan lawatan kerja bersama Yayasan Kelantan Darulnaim (YAKIN) ke KIAS, semalam.

Jelasnya, lawatan tersebut melibatkan tinjauan ke Bangunan Akademik, Bangunan Abu Bakar Lama dan Asrama Abu Bakar Baharu termasuk melihat perkembangan beberapa kerja penambahbaikan kemudahan yang sedang dan telah dilaksanakan.

“Antara kerja penambahbaikan yang ditinjau ialah pembaikan tandas di Bangunan Akademik, kerja-kerja mengecat bangunan serta beberapa keperluan lain yang berkaitan,” katanya.

Beliau juga memaklumkan, kemudahan yang baik berkaitan aspek fizikal turut menyumbang kepada suasana pembelajaran yang lebih selesa dan kondusif kepada para pelajar.

Turut hadir, Timbalan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi YB Kamaruzaman Mohamad, Rektor KIAS Profesor Dr. Mazlan Ibrahim serta Pengarah Yayasan Kelantan Darulnaim (YAKIN) Nik Jessim Tan Sri Nik Hashim.

Pautan berjaya disalin!