Accessibility Tools

Skip to main content

KB Half Marathon tarik 45 peratus peserta luar Kelantan

  • 08 September 2026
  • Oleh: Irham Hilmi Hashim
  • 33

KOTA DARULNAIM, 8 September - Penganjuran Kota Bharu Half Marathon (KBHM) 3.0 membuktikan Kelantan berupaya menganjurkan acara sukan berskala besar yang mendapat sambutan peserta dari seluruh negara apabila 45 peratus daripada keseluruhan peserta merupakan pelari dari luar Kelantan.

Exco Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat  YB Zamakhshari Muhamad berkata, berdasarkan alamat pendaftaran, sebanyak 55 peratus peserta KBHM 3.0 merupakan rakyat Kelantan manakala 45 peratus lagi datang dari luar negeri itu.

Menurutnya, penyertaan yang hampir seimbang tersebut menunjukkan KB Half Marathon semakin mendapat tempat dalam kalangan komuniti pelari di peringkat nasional selain berjaya menggalakkan budaya hidup sihat dalam kalangan masyarakat tempatan.

“Secara keseluruhannya, penyertaan yang hampir seimbang antara pelari Kelantan dan luar Kelantan menunjukkan bahawa KB Half Marathon kini mempunyai daya tarikan di peringkat nasional,” katanya menerusi media sosial, semalam.

Beliau berkata, kejayaan penganjuran acara berkenaan turut penting dalam membina keyakinan dan meningkatkan keupayaan Kelantan sebagai negeri yang bakal menjadi tuan rumah SUKMA XXIII pada 2028, khususnya dari aspek pengurusan peserta, keselamatan, logistik, sukarelawan, teknikal pertandingan dan pengurusan laluan.

“KB Half Marathon 3.0 adalah antara platform penting untuk kita menguji kemampuan, menambah pengalaman dan memperkukuhkan ekosistem penganjuran sukan di Negeri Kelantan,” jelasnya.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan penyertaan peserta Kelantan mengikut kategori masing-masing adalah 74 peratus bagi 5 kilometer, 59 peratus bagi 10 kilometer dan 49 peratus bagi 21.1 kilometer Half Marathon, manakala pengalaman penganjuran pelbagai acara sukan akan terus dimanfaatkan bagi meningkatkan tahap kesiapsiagaan negeri menuju SUKMA XXIII Kelantan 2028.

Pautan berjaya disalin!