Accessibility Tools

Skip to main content

Lima insentif perkukuh kelestarian industri perhutanan Kelantan

  • 08 September 2026
  • Oleh: Asri Hamat
  • 25

KOTA DARULNAIM, 8 September - Kerajaan Negeri Kelantan memperkenalkan lima insentif bagi memperkukuh kelestarian industri perhutanan di negeri ini, khususnya dalam menghadapi peningkatan kos operasi dan cabaran rantaian bekalan susulan ketidaktentuan ekonomi global.

Menteri Besar Kelantan YAB Dato' Panglima Perang, Ustaz Dato' Mohd Nassuruddin Daud berkata, insentif berkenaan dilaksanakan sehingga tahun 2027 sebagai langkah proaktif kerajaan negeri bagi memastikan industri perhutanan terus berkembang dengan baik, selain memberikan manfaat kepada negeri dan rakyat.

Katanya, kerajaan negeri turut mengambil kira peningkatan kos operasi, terutama kos bahan api serta rantaian bekalan yang terkesan akibat ketidaktentuan ekonomi global yang berterusan.

"Lima insentif yang diperkenalkan itu membabitkan pelanjutan tempoh kuat kuasa Lesen Pengusahasilan dengan kadar premium kini hanya dikenakan berdasarkan baki keluasan kawasan yang belum diusahasilkan.

"Kadar premium kayu ladang pula dikurangkan daripada RM700 kepada RM500 sehektar.

"Kerajaan negeri turut mengekalkan kadar royalti balak lama meskipun kadar semasa yang sepatutnya dikenakan adalah jauh lebih tinggi," katanya di media sosial, hari ini.

Selain itu, kadar royalti kayu ladang diturunkan daripada RM12 kepada RM10 bagi setiap meter padu, selain proses pelesenan yang lebih cekap.

Insentif kelima membabitkan proses pelesenan kayu getah yang dipercepatkan secara drastik daripada tiga bulan kepada hanya 14 hari.

Langkah berkenaan diumumkan ketika majlis Pertemuan Menteri Besar bersama Pejabat Perhutanan Negeri Kelantan, agensi-agensi berkaitan serta pemain industri pembalakan dan perladangan hutan Negeri Kelantan di sebuah hotel di Kota Bharu, malam tadi.

Katanya lagi, Kerajaan Negeri Kelantan turut menghargai peranan dan komitmen pengusaha industri yang telah melaburkan modal, tenaga serta kepakaran dalam membangunkan sektor perhutanan di negeri itu.

"Pengumuman insentif berkenaan dilihat sebagai usaha kerajaan negeri mengimbangi kemajuan ekonomi dengan kelestarian alam sekitar demi kesejahteraan rakyat Kelantan.

"Kerajaan negeri berharap kemudahan yang diberikan itu dapat memberikan impak positif kepada ekonomi negeri, sekali gus membawa kebaikan kepada Kelantan," jelasnya.

Pautan berjaya disalin!