Accessibility Tools

Skip to main content

Hubbun Nabi platform didik generasi muda kenali sirah Rasulullah

  • 07 September 2026
  • Oleh: Asri Hamat
  • 26

BACHOK, 7 September - Program Hubbun Nabi SAW peringkat Jajahan Bachok tahun ini menjadi platform untuk mendidik masyarakat khususnya golongan remaja dan generasi muda supaya mengenali serta memahami ajaran Islam melalui sirah, keperibadian dan kehidupan Nabi Muhammad SAW.

Ketua Jajahan Bachok yang juga Yang Dipertua Majlis Daerah Bachok Bandar Pelancongan Islam (MDB- BPI) Mohd Zaki Yusoff berkata program berkenaan turut memberi penekanan terhadap usaha melahirkan generasi muda yang cemerlang dalam bidang akademik dan pegangan agama yang kukuh.

"Yang pertama, program ini menjadi platform untuk mendidik masyarakat khususnya golongan remaja dan generasi muda agar mengenali dan memahami ajaran Islam melalui sirah, keperibadian dan kehidupan Nabi Muhammad SAW.

"Kita mahu anak muda di Jajahan Bachok khususnya bukan sahaja cemerlang dalam bidang akademik, tetapi turut memiliki jati diri, akhlak dan pegangan agama yang kukuh."

Beliau berkata demikian ketika memberi ucapan alu-aluan dalam program Hubbun Nabi 1448H peringkat Jajahan Bachok di Tapak Pasar Malam Pantai Irama, di sini, hari ini.

Katanya, objektif kedua program itu adalah untuk meningkatkan kecintaan dan penghormatan kepada Nabi Muhammad SAW.

Menurutnya, menerusi majlis seperti itu, umat Islam dapat berkumpul bersama-sama untuk membaca syair, berselawat serta menyampaikan pujian yang memuji dan mengagungkan junjungan besar Nabi Muhammad SAW.

"Objektif ketiga, program ini bertujuan untuk mengambil inspirasi daripada ajaran, akhlak dan tingkah laku baginda SAW, di samping memupuk usaha untuk mengamalkan serta mengikuti sunnah Nabi SAW dalam kehidupan kita seharian," jelasnya.

Program Hubbun Nabi bertemakan 'Rasulullah Ikutan Kami' peringkat jajahan Bachok dianjurkan oleh MDB-BPI dengan kerjasama jabatan dan agensi kerajaan.

Tambah Mohd Zaki, di bawah Jawatankuasa Pembangunan Islam MDB-BPI ditetapkan supaya perarakan diadakan pada setiap tahun sebagai sebahagian daripada program Hubbun Nabi SAW.

Pautan berjaya disalin!