Accessibility Tools

Skip to main content

Hubbun Nabi ruang perbaharui cinta kepada Rasulullah SAW

  • 07 September 2026
  • Oleh: Asri Hamat
  • 23

BACHOK, 7 September - Sambutan Hubbun Nabi menjadi wadah memperbaharui kecintaan kepada Rasulullah SAW, mengenali perjuangan dan menilai sejauh mana kehidupan umat Islam hari ini benar-benar berlandaskan ajaran baginda.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi YB Dato' Wan Roslan Wan Hamat berkata kecintaan kepada Rasulullah SAW perlu diterjemahkan melalui amalan dengan mengikuti sunnah, mencontohi akhlak baginda dan melaksanakan ajaran yang dibawanya.

"Cinta kepada Nabi SAW mesti dibuktikan dengan mengikuti sunnah baginda, mencontohi akhlak baginda serta membawa ajaran yang dibawa oleh Nabi SAW dalam kehidupan kita.

"Allah SWT mengutuskan Nabi SAW untuk menjulang agama-Nya secara keseluruhan walaupun ditentang oleh musuh-musuh Islam."

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan program Hubbun Nabi SAW 1448H peringkat Jajahan Bachok di Tapak Pasar Malam Pantai Irama, di sini, hari ini.

Katanya, sepanjang 13 tahun dakwah Nabi SAW di Mekah al-Mukaramah, baginda memfokus dua perkara utama iaitu membetulkan salah faham berkaitan akidah serta memperbaiki akhlak masyarakat.

Menurutnya, ayat pertama yang diturunkan Allah SWT kepada Nabi SAW ialah Surah al-'Alaq yang membawa perintah membaca dan belajar.

"Allah tidak menyuruh Nabi SAW mencari harta, pangkat dan kedudukan. Allah tidak menyuruh Nabi mencari kelebihan-kelebihan tetapi Allah memerintahkan Nabi supaya belajar dan membetulkan salah faham masyarakat Arab di Mekah pada masa itu yang berkaitan dengan akidah.

"Yang kedua, dakwah Nabi SAW di Mekah ialah membetulkan akhlak kerana akhlak yang ditunjukkan oleh Nabi Muhammad SAW menjadi ikutan kerana nabi diutuskan untuk menyempurnakan akhlak yang mulia," katanya.

Tambah Dato' Wan Roslan, sambutan Hubbun Nabi tidak seharusnya sekadar diungkapkan melalui kata-kata, sebaliknya perlu diterjemahkan melalui perbuatan dan pelaksanaan perintah Allah SWT.

Katanya, penganjuran program sebegini  diharap dapat menyemai dalam kalangan generasi muda nilai keberanian, kebijaksanaan, kasih sayang dan prinsip yang ditunjukkan baginda.

"Nabi SAW bukan sekadar sebagai tokoh sejarah yang dipelajari tetapi sebagai 'qudwah' dalam hidup dan membentuk peribadi dan kehidupan.

"Semoga program hari ini bukan sahaja memenuhi tempat ini dengan selawat kepada Nabi SAW tetapi juga memenuhi hati kita dengan kecintaan dan memenuhi kehidupan kita dengan sunnah Nabi SAW," katanya.

Beliau turut mengingatkan supaya semangat Hubbun Nabi tidak berakhir selepas majlis selesai, sebaliknya diteruskan dalam kehidupan seharian.

"Kalau hari ini kita berselawat, teruskanlah berselawat. Kalau hari ini kita mendengar tentang akhlak Rasulullah SAW, bawalah ia pulang ke rumah, ke tempat kerja dan ke tengah masyarakat," ujarnya.

Sempena Majlis Hubbun Nabi peringkat Jajahan Bachok, turut diadakan perarakan membabitkan 38 kontinjen dengan 747 peserta.

Kontinjen terbabit dibahagikan kepada tiga kategori iaitu agensi kerajaan, masjid mukim serta institusi pendidikan dan sekolah.

Johan kategori agensi kerajaan dimenangi Ibu Pejabat Polis Daerah Bachok, manakala kategori masjid mukim dimenangi Masjid Mukim Kubang Golok dan kategori institusi pendidikan dan sekolah dimenangi Madrasah Insaniah, Bachok.

Johan bagi setiap kategori menerima wang tunai RM1,000.

Hadir sama, Ketua Jajahan Bachok Mohd Zaki Yusoff, Ahli Dewan Negeri (ADN) di Parlimen Bachok, Ketua Whip Ahli-ahli Majlis Daerah Bachok-Bandar, Pelancongan Islam (MDB-BPI) Muslim Che Yusof, Setiausaha MDB-BPI Mohd Khairul Azhar Mohd Adnan, Pengarah Program Hubbun Nabi SAW peringkat Jajahan Bachok Mohd Firdaus Mohd Nawi dan Ketua Polis Daerah Bachok YDH Supt. Mohd Ismail Jamaluddin.

Pautan berjaya disalin!