Doa, pengorbanan ibu bapa asas kejayaan anak – Dato’ Tuan Saripudin
-
07 September 2026
-
Oleh: Irham Hilmi Hashim
-
24
PASIR PUTEH, 7 September — Doa dan pengorbanan ibu bapa serta keikhlasan guru menjadi antara asas penting dalam membentuk anak-anak cemerlang dalam pendidikan serta berakhlak dan jati diri yang baik.
Ahli Dewan Negeri (ADN) Selising merangkap Exco Pertanian, Industri Agromakanan dan Komoditi YB Dato’ Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail berkata, anak-anak merupakan amanah daripada Allah SWT yang perlu dibimbing agar berjaya di dunia serta menjadi insan soleh, berilmu dan memberi manfaat kepada agama, bangsa dan ummah.
"Kejayaan seseorang anak tidak seharusnya dilihat dari sudut pencapaian akademik semata-mata, sebaliknya perlu disertai pembentukan akhlak dan keperibadian yang mendapat keredaan Allah SWT," katanya menerusi media sosial, hari ini.
Terdahulu, beliau merasmikan Program Ceramah Motivasi “Ibu Bapa Inspirasi, Anak Berprestasi” serta Penyampaian Slip Keputusan Peperiksaan Percubaan SMU, SPM dan STAM di Maahad Saniah Pasir Puteh.
“Saya percaya, di sebalik kejayaan seorang anak, ada doa ibu bapa, pengorbanan keluarga dan keikhlasan guru yang sentiasa membimbing,” katanya.
Tambahnya, usaha membentuk generasi rabbani memerlukan ibu bapa membimbing anak-anak supaya tidak hanya mengejar kejayaan yang dipandang manusia, tetapi turut berusaha mencapai kejayaan yang mendapat reda Allah SWT.
“Sebagai seorang bapa, kita sedar bahawa anak-anak adalah amanah daripada Allah SWT dan ibu bapa pastinya berdoa agar anak-anak bukan sahaja berjaya di dunia, tetapi menjadi insan soleh, berilmu dan memberi manfaat kepada agama, bangsa dan ummah,” ujarnya.
Sehubungan itu, beliau mengucapkan tahniah kepada anak-anak Maahad Saniah dan mendoakan agar mereka terus cemerlang dalam pelajaran, kukuh akhlaknya serta tinggi cita-cita untuk mencapai kejayaan pada masa hadapan.












