Accessibility Tools

Skip to main content

Majlis Daerah Tanah Merah juara PSAINC 2026, cetus inovasi AI di peringkat PBT

  • 07 September 2026
  • Oleh: Syamimi Manah
  • 34

KOTA DARULNAIM, 6 September - Majlis Daerah Tanah Merah (MDTM) mengukir kejayaan di peringkat kebangsaan apabila pasukan inovasinya, SMART TEAM dinobatkan sebagai Johan Public Sector AI Nexus Challenge (PSAINC) 2026, sekali gus mencetuskan inovasi AI dalam kalangan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar YB Hilmi Abdullah berkata, kejayaan tersebut membuktikan keupayaan dan daya saing PBT di peringkat daerah dalam memacu transformasi digital serta pengaplikasian teknologi kecerdasan buatan (AI).

“Tahniah kepada Majlis Daerah Tanah Merah di atas kejayaan gilang-gemilang selepas pasukan inovasi MDTM, SMART TEAM dinobatkan sebagai Johan Public Sector AI Nexus Challenge (PSAINC) 2026 pada Majlis Penyampaian Anugerah PSAINC 2026 bersempena Seminar AI Sektor Awam 2026 yang berlangsung di Putrajaya, semalam.

“Kemenangan ini lebih bermakna apabila SMART TEAM MDTM turut merangkul Anugerah Khas Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan Anugerah Khas User Case oleh AWS. Ini sekali gus telah membuktikan keupayaan dan daya saing PBT di peringkat daerah dalam memacu transformasi digital serta pengaplikasian teknologi Kecerdasan Buatan (AI) di peringkat kebangsaan,” katanya di laman rasmi pada 4 September.

SMART TEAM MDTM turut merangkul Anugerah Khas Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan Anugerah Khas User Case oleh Amazon Web Services (AWS), menjadikan pencapaian tersebut lebih bermakna buat MDTM.

Majlis Penyampaian Anugerah PSAINC 2026 disempurnakan oleh Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar bersempena Seminar AI Sektor Awam 2026 yang berlangsung di Putrajaya, pada 3 September.

Menurut YB Hilmi, kejayaan tersebut turut mendapat sokongan dan disaksikan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan (Pengurusan) Dato’ Azi Rahimee Mohamed bersama Yang Dipertua Majlis Daerah Tanah Merah Wan Ahmad Suwaidi Zainal Abidin.

“Kerajaan negeri merakamkan setinggi-tinggi ucapan tahniah khususnya kepada pasukan SMART TEAM atas dedikasi serta usaha gigih yang ditunjukkan sehingga mencapai kejayaan ini,” ujarnya.

Tambah YB Hilmi, Kejayaan SMART TEAM MDTM itu sekali gus memperlihatkan potensi PBT di Kelantan dalam meneroka dan mengaplikasikan teknologi AI, selain memperkukuh agenda transformasi digital dalam penyampaian perkhidmatan awam.

Pautan berjaya disalin!