Rumah Dhuafa’ ubah kehidupan keluarga Wan Him
-
07 September 2026
-
Oleh: Irham Hilmi Hashim
-
21
KUALA KRAI, 7 September — Penyerahan sebuah Rumah Dhuafa’ kepada keluarga Wan Ibrahim Wan Mohd Nor, 54, dari Kampung Sungai Pas memberi sinar baharu apabila kediaman yang lebih selesa kini dapat didiami selepas keluarga berkenaan sebelum ini tinggal dalam keadaan serba kekurangan.
Ahli Dewan Negeri (ADN) Mengkebang YB Zubir Abu Bakar berkata, pembinaan rumah tersebut merupakan hasil permohonan kepada Kerajaan Negeri Kelantan pada awal tahun ini selepas beliau menziarahi keluarga berkenaan dan melihat sendiri keadaan kediaman mereka.
Menurutnya, setahun lalu beliau turut menziarahi Wan Him yang diuji masalah penglihatan akibat penyakit saraf kronik sehingga kehilangan penglihatan dan memerlukan bantuan isteri serta anak-anak dalam menguruskan kehidupan harian.
“Ketika itu, beliau menetap di rumah yang amat daif dan serba kekurangan, termasuk tidak mempunyai bekalan elektrik dan air bersih,” katanya menerusi media sosial selepas selesai majlis penyerahan rumah berkenaan, semalam.
Susulan itu, permohonan pembinaan sebuah Rumah Dhuafa’ untuk keluarga berkenaan telah dikemukakan kepada kerajaan negeri dan diluluskan tiga bulan lalu sebelum rumah tersebut siap sepenuhnya serta layak untuk diduduki.
“Semoga Rumah Dhuafa’ ini menjadi Baiti Jannati iaitu kediaman yang selesa, aman dan penuh keberkatan serta membuka lembaran kehidupan yang lebih baik buat Wan Him sekeluarga,” katanya.








