Accessibility Tools

Skip to main content

Wanita perlu beri ruang kepada diri, jaga kesihatan mental – Dato’ Rohani

  • 07 September 2026
  • Oleh: Syamimi Manah | Kredit foto: Media YB Dato' Rohani
  • 35

KOTA BHARU, 7 September - Wanita perlu memberi ruang kepada diri sendiri untuk berehat, mendapatkan bantuan dan memulihkan semula kekuatan diri sebagai sebahagian daripada usaha menjaga kesihatan mental dan membina kehidupan yang lebih seimbang.

Exco Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita YB Dato’ Rohani Ibrahim berkata, wanita tidak seharusnya terlalu sibuk menjaga keperluan orang lain sehingga terlupa untuk memberi perhatian kepada kesihatan dan kesejahteraan diri sendiri.

Katanya, penjagaan kesihatan wanita perlu dilihat secara menyeluruh merangkumi aspek fizikal, mental, rohani dan spiritual.

“Jangan tunggu diri kita kuat baru kita mahu menjaga diri. Sebaliknya, jagalah diri supaya kita terus kuat untuk menjaga orang yang kita sayang,” katanya di laman rasmi pada 29 Ogos.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Women’s Wellness & Health Inspirational Summit (WWHISPERS) 2.0 Tahun 2026 anjuran Malaysian Community Pharmacy Guild (MCPG), yang berlangsung di sebuah hotel, di sini.

Program berkenaan turut menampilkan selebriti Datin Lisa Surihani dan penceramah motivasi Ustazah Asni Mansor.

Menurut Dato’ Rohani, menjadi wanita yang kuat tidak bermaksud seseorang itu perlu sentiasa memikul segala tanggungjawab seorang diri, sebaliknya perlu mengetahui bila masanya untuk berhenti, berehat dan mendapatkan bantuan.

“Jangan hanya menjadi wanita yang kuat untuk semua orang. Jadilah juga wanita yang tahu bila waktunya untuk berhenti, berehat, mendapatkan bantuan dan memberi ruang kepada diri sendiri untuk kembali kuat,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau berkata sambutan menggalakkan terhadap WWHISPERS 2.0 yang menghimpunkan wanita daripada pelbagai latar belakang dan profesion membuktikan kesedaran terhadap kepentingan membina kualiti diri secara seimbang semakin meningkat.

“Melihat begitu ramai wanita hebat berkumpul pada hari ini menjadi satu bukti bahawa wanita Kelantan semakin sedar akan pentingnya membina kualiti diri yang seimbang bukan sahaja dari sudut fizikal dan mental, tetapi juga rohani dan spiritual,” katanya.

Tambahnya, Islam turut memuliakan wanita dan meletakkan maruah serta kemuliaan mereka sebagai sesuatu yang perlu dipelihara kerana ia bukan sahaja mencerminkan diri, bahkan membawa nilai kepada keluarga dan ummah.

Sehubungan itu, beliau berharap segala perkongsian dan ilmu yang disampaikan menerusi WWHISPERS 2.0 dapat memberi manfaat serta menjadi panduan kepada wanita untuk diamalkan dalam kehidupan seharian.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada MCPG selaku penganjur utama, semua rakan strategik, urusetia pelaksana, para tetamu khas serta seluruh peserta yang menjayakan program berkenaan.

Katanya, usaha seumpama itu perlu diteruskan sebagai ruang untuk wanita Kelantan saling berkongsi ilmu, menguatkan satu sama lain dan membina kehidupan yang lebih sihat, sejahtera serta diberkati Allah SWT.

“Wanita yang sihat, kuat dan berilmu adalah aset besar kepada keluarga, masyarakat dan ummah,” ujarnya.

Pautan berjaya disalin!