Kerja baik pulih paip pecah di Merbau Chondong hampir siap
-
07 September 2026
-
Oleh: Asri Hamat | Kredit foto: Media Dato' Izani
-
32
KOTA DARULNAIM, 7 September- Kerja-kerja membaiki kebocoran paip air mentah di Merbau Chondong, Machang, kini hampir siap dan dijangka selesai lebih awal daripada jadual ditetapkan.
Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar YB Dato' Dr. Izani Husin berkata, laporan mengenai kebocoran paip air mentah di kawasan berkenaan diterima pada Jumaat lalu dan kerja-kerja pembaikan sedang giat dijalankan.
Katanya, paip air mentah jenis Glass-Fibre Reinforced Plastic (GRP) berukuran 1,000 milimeter (mm) itu terpaksa ditutup sementara bagi membolehkan kerja pembaikan dijalankan.
"Secara tidak langsung, penutupan itu memberi kesan kepada hampir 34,000 akaun pengguna di sekitar Machang, Kota Bharu Selatan dan Pasir Puteh.
"Hasil tinjauan saya bersama AKSB ke lokasi mendapati kerja-kerja pembaikan sudah hampir selesai dan lebih awal daripada jadual.
"Semua kebocoran dijangka siap ditampal hari ini dan selepas 24 jam daripada kerja pembaikan siap, bekalan air akan dibuka semula," katanya di media sosial, pada Ahad.
Menurutnya, akibat kebocoran yang kerap berlaku di kawasan sama, AKSB akan memulakan kerja-kerja penukaran paip air mentah GRP kepada jenis Mild Steel (MS) sepanjang kira-kira 800 meter pada Oktober ini.
"Kerja-kerja penukaran paip ini membabitkan peruntukan sebanyak RM3 juta dan saya berharap usaha ini akan memberi kesan positif kepada pengguna air terawat di seluruh kawasan sekitar," katanya.
Terdahulu, beliau bersama Timbalan Pengurus Besar AKSB (Operasi & Teknikal) Azlee Aladin serta beberapa Ketua Jabatan berkaitan hadir ke lokasi untuk meninjau sendiri kerja-kerja pembaikan paip air mentah GRP yang bocor, pada Jumaat lepas.
Sementara itu, Dato' Dr. Izani turut menghargai tindakan pantas pasukan AKSB yang terus ke lokasi sebaik menerima laporan mengenai kebocoran paip berkenaan.
"Pada hari sama, iaitu Jumaat, proses menggali untuk membaiki paip yang bocor terus dilakukan.
"Alhamdulillah, proses kerja itu berjalan dengan cepat dan dijangka semua bahagian yang bocor dapat ditampal dengan sebaiknya.
"Cuma kita perlu menunggu 24 jam untuk ia betul-betul kering sebelum bekalan air dilepaskan secara berperingkat," jelasnya.
Beliau berharap penduduk yang menerima bekalan air daripada Merbau Chondong dapat bersabar sementara proses pemulihan bekalan dilaksanakan.












