Akses jalan ke pusat peranginan, hutan lipur Kelantan umumnya baik
-
12 August 2026
-
Oleh: Asri Hamat
-
38
KOTA DARULNAIM, 12 Ogos — Akses jalan ke pusat peranginan dan hutan lipur di seluruh Kelantan secara umumnya berada dalam keadaan baik, dengan sebahagian besarnya didaftarkan di bawah Sistem Maklumat Rekod Jalan Raya Malaysia (MARRIS) serta disenggara oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Jabatan Perhutanan.
Exco Kerjaraya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar YB Dato’ Dr Izani Husin berkata, pengecualian melibatkan beberapa laluan menuju ke kawasan berbukit dan jalan kecil yang masih memerlukan pelaksanaan atau penambahbaikan.
“Secara umumnya jalan-jalan masuk ke pusat-pusat peranginan atau pusat rekreasi ini berada dalam keadaan baik di seluruh negeri, kecuali jalan yang menuju ke kawasan berbukit dan jalan kecil yang masih lagi belum dilaksanakan.
“Berbalik kepada Pasir Puteh, di Hutan Lipur Jeram Linang juga didaftarkan di bawah MARRIS dan dinamakan Jalan Simpang Tiga Lepan Rambai ke Jeram Linang.
“Panjang keseluruhan jalan ini ialah 2.6 kilometer dengan lebar 4.27 meter dan jenis jalan adalah berturap. Dari sudut penyelarasan dan pembaikannya jagaannya insya-Allah dalam keadaan yang baik,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Negeri (ADN) Gaal YB Mohd Rodzi Jaafar berhubung keadaan jalan dan kemudahan akses ke pusat peranginan serta hutan lipur di Kelantan pada hari kedua Persidangan Kali Kedua Bagi Tempoh Penggal Keempat Dewan Negeri Kelantan Yang Kelima Belas Tahun 2026, hari ini.
Menurutnya, laluan ke Hutan Lipur Lata Tujuh turut didaftarkan di bawah MARRIS dan dikenali sebagai Jalan Tekir ke Lata Tujuh.
“Secara umumnya jalan ini lebih kurang 1,400 atau 1,500 meter dan lebarnya 2.7 meter. Jenis jalan adalah berturap, konkrit dan berbatu.
“Ia boleh dilalui kenderaan seperti kereta, motosikal dan kenderaan SUV,” katanya.
Beliau juga memaklumkan jalan menuju ke Jeram Linang masih dalam proses pembaikan.
Dalam perkembangan berkaitan, ADN Gual Periok YB Kamaruzaman Mohamad menerusi soalan tambahan meminta penjelasan mengenai kaedah kerajaan menentukan keutamaan menaik taraf jalan ke pusat peranginan.
Beliau turut membangkitkan sama ada jumlah pengunjung, potensi menjana pendapatan kepada komuniti, risiko kemalangan atau faktor lain dijadikan pertimbangan dalam menentukan keutamaan pembangunan sesuatu lokasi rekreasi.
Menjawab perkara itu, Dato' Dr Izani berkata, pembangunan kebanyakan pusat rekreasi termasuk di Jeli dilaksanakan menggunakan peruntukan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).
“Kebanyakan pusat rekreasi seperti di Jeli, banyak tempat yang kita buat kebanyakannya perbelanjaan daripada KPKT. Peruntukan setengah juta ringgit setiap satu tempat rekreasi untuk kita bangunkan.
“Jadi pembangunan kawasan rekreasi ini sebenarnya kita tengok tempat yang sesuai, berpotensi dan kita mohon peruntukan daripada KPKT untuk pembangunan tempat rekreasi tersebut,” jelasnya.
Beliau memaklumkan, justifikasi pembangunan ditentukan oleh PBT berdasarkan kesesuaian, potensi dan keutamaan sesuatu kawasan sebelum permohonan peruntukan dikemukakan kepada KPKT.
“Maka setiap PBT biasanya akan memohon kepada KPKT untuk membangunkan sesuatu pusat rekreasi,” ujarnya.







