Accessibility Tools

Skip to main content

Lokasi strategik Taman Industri Halal Pasir Mas tarik minat pelabur – Dato’ Md Anizam

  • 12 August 2026
  • Oleh: Syamimi Manah
  • 43

KOTA DARULNAIM, 12 Ogos: Kedudukan strategik Taman Industri Halal Pasir Mas menjadi antara kelebihan utama dalam menarik minat pelabur serta membuka akses kepada pasaran serantau, khususnya menerusi kedudukannya yang berhampiran sempadan Thailand.

Exco Pelaburan, Perindustrian, Sumber Manusia, Perdagangan dan Keusahawanan YB Mejar (B) Dato’ Md Anizam Abdul Rahman berkata, taman industri berkenaan terletak di laluan utama Kota Bharu-Pasir Mas-Rantau Panjang yang memberi kelebihan dalam pembangunan perniagaan merentasi sempadan.

Menurutnya, lokasi tersebut turut memudahkan pergerakan barangan selain membuka peluang kepada pemain industri untuk meneroka pasaran serantau.

“Taman Industri Halal Pasir Mas berada kira-kira 14 kilometer dari sempadan Thailand, 26 kilometer ke Kota Bharu dan 34 kilometer ke Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Negeri (ADN) Gual Periok YB Kamaruzaman Mohamad pada Persidangan Kali Kedua Bagi Tempoh Penggal Keempat Dewan Negeri Kelantan Yang Kelima Belas Tahun 2026, hari ini.

Dato’ Md Anizam berkata, Kerajaan Negeri melalui Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) dan East Coast Economic Region Development Council (ECERDC) melaksanakan pelbagai inisiatif dalam pembangunan Taman Industri Halal Pasir Mas.

Katanya, penyediaan infrastruktur dan pensijilan halal yang lengkap dapat menarik syarikat tempatan serta pelabur luar untuk menceburi perniagaan dan perusahaan dalam industri halal.

“Selain itu, kehadiran kilang, pusat pemprosesan dan perniagaan sokongan dapat membuka peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan, meningkatkan pendapatan isi rumah serta mengurangkan penghijrahan tenaga kerja,” ujarnya.

Menurutnya, pembangunan taman industri itu turut memperkukuh rantaian bekalan halal apabila pengeluar, pembekal bahan mentah, syarikat pembungkusan dan penyedia logistik dapat beroperasi dalam satu ekosistem yang cekap serta mematuhi standard halal.

Beliau turut memaklumkan, kemudahan yang disediakan juga dapat dimanfaatkan secara bersama oleh perusahaan kecil dan sederhana (PKS), sekali gus merangsang pertumbuhan sektor tersebut.

Tambahnya, pembangunan Taman Industri Halal Pasir Mas menyokong agenda ekonomi negeri dalam memperkukuh kedudukan Kelantan sebagai negeri yang membangunkan ekonomi berteraskan Syariah dan industri halal, selaras dengan aspirasi Malaysia sebagai hab halal global.

“Promosi berterusan dilaksanakan oleh Invest Kelantan dan Malaysian Investment Development Authority (MIDA) kepada para pelabur dalam dan luar negara,” jelasnya.

Pautan berjaya disalin!