Accessibility Tools

Skip to main content

Kelantan Ventures mula catat kemajuan nyata dalam industri petroleum, gas dan tenaga

  • 12 August 2026
  • Oleh: Irham Hilmi Hashim
  • 33

KOTA DARULNAIM, 12 Ogos – Kelantan Ventures Sdn. Bhd. (KVSB) mula mencatat kemajuan nyata dalam industri petroleum, gas dan tenaga apabila beberapa inisiatif komersial yang diurus serta disokong syarikat itu menunjukkan perkembangan positif, sekali gus memperluas penyertaan Kelantan dalam rantaian industri berkenaan.

Timbalan Menteri Besar Kelantan YB Dato’ Mohamed Fadzli Dato’ Hassan berkata, perkembangan itu menunjukkan pendekatan Kerajaan Negeri melalui KVSB mula membuahkan hasil meskipun syarikat berkenaan masih pada peringkat awal penubuhan.

Menurutnya, antara perkembangan signifikan ialah kerjasama dengan SMOK Sdn. Bhd. yang beroperasi di Pengkalan Chepor dan kini membekalkan bahan kimia proprietari bagi operasi penggerudian kepada Schlumberger untuk pasaran Asia Tenggara dan Timur Tengah.

“Pencapaian ini membuktikan bahawa syarikat berpangkalan di Kelantan mampu menembusi rantaian bekalan antarabangsa dan insya Allah nantinya akan memudahkan rantaian bekalan industri huluan minyak dan gas di peringkat antarabangsa dan dalam negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Ahli Dewan Negeri (ADN) Pengkalan Pasir YB Mohamadd Nasriff Daud Yatimee pada Persidangan Kali Kedua bagi Tempoh Penggal Keempat Dewan Negeri Kelantan di Kota Darulnaim, hari ini.

Mengulas lanjut, Dato' Dr. Mohamed Fadzli berkata, Petronaim Sdn. Bhd. sebuah syarikat tempatan yang berpangkalan di Kelantan turut membangunkan fasiliti fabrikasi berskala kecil (minor fabrication yard) di Tok Bali.

Menurutnya, fasiliti berkenaan telah melaksanakan kerja fabrikasi dan penyelenggaraan peralatan serta kemudahan berkaitan industri petroleum dan gas, sekali gus meningkatkan kapasiti sokongan industri berkenaan di Kelantan.

Perkembangan itu juga berpotensi memperluas ekosistem perkhidmatan fabrikasi dan penyelenggaraan bagi menyokong aktiviti industri petroleum dan gas khususnya di kawasan Tok Bali.

Selain itu, RFSB Sdn. Bhd. yang beroperasi di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) Kota Bharu telah menyiapkan sepenuhnya fasiliti dan sistem operasi bagi perkhidmatan pengisian bahan api pesawat.

“Operasi komersial dijadualkan bermula pada Ogos 2026, sekali gus memperkukuhkan infrastruktur tenaga penerbangan di negeri Kelantan,” katanya.

Beliau memaklumkan, perkembangan berkenaan turut mengambil kira potensi pertumbuhan industri penerbangan susulan kerja naik taraf dan pembesaran LTSIP serta usaha meningkatkan ketersambungan udara negeri.

Jelasnya, Kerajaan Negeri bersama Kerajaan Persekutuan sedang berusaha menambah bilangan penerbangan ke Kelantan termasuk meneroka potensi laluan yang menghubungkan negeri itu dengan destinasi serantau dan antarabangsa.

Pada masa sama, KVSB turut menerima minat daripada beberapa syarikat tempatan dan antarabangsa untuk meneroka peluang pelaburan dalam ekosistem petroleum, gas dan tenaga di Kelantan.

Beliau menegaskan, setiap cadangan sedang melalui proses penelitian wajar (due diligence) secara komprehensif bagi menilai daya maju komersial, pematuhan perundangan serta potensi pulangan ekonomi kepada negeri dan rakyat.

“Perkembangan ini sebenarnya membuktikan bahawa pendekatan yang diambil oleh Kerajaan Negeri Kelantan melalui Kelantan Ventures ini telah mula menghasilkan kemajuan yang nyata walaupun baru setahun jagung penubuhannya.

“Insya Allah, Kerajaan Negeri akan terus memperkukuhkan kerjasama strategik, menarik pelaburan berkualiti dan memperluaskan penyertaan Kelantan dalam industri petroleum, gas dan tenaga demi menjana manfaat kepada ekonomi negeri dan juga rakyat Kelantan,” ujarnya.

Walau bagaimanapun, beliau menjelaskan sebahagian maklumat berkaitan status rundingan dan jangkaan pulangan belum dapat diperincikan sehingga hasil serta perkembangan sebenar setiap inisiatif dapat dikenal pasti dengan lebih jelas.

Pautan berjaya disalin!