Jaringan Pengkalan Kubor-Tak Bai berpotensi lonjak ekonomi sempadan
-
12 August 2026
-
Oleh: Irham Hilmi Hashim
-
35
KOTA DARULNAIM, 12 Ogos – Cadangan pembinaan jaringan jalan raya dan jambatan baharu yang menghubungkan Pengkalan Kubor, Tumpat dengan Tak Bai, Thailand berpotensi memberi impak ekonomi besar kepada kawasan sempadan menerusi pembangunan perbandaran, kediaman dan perniagaan.
Exco Kerjaraya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar YB Dato’ Izani Husin berkata, peningkatan akses melalui jaringan jalan raya yang lebih baik dijangka merangsang pertumbuhan ekonomi serta membuka ruang pembangunan baharu di kawasan berkenaan.
Menurutnya, Tumpat mempunyai kedudukan strategik kerana bersebelahan Kota Bharu dan bersempadan dengan Thailand, sekali gus berpotensi menerima limpahan pembangunan serta aktiviti ekonomi dari kedua-dua kawasan.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Negeri (ADN) Wakaf Bharu YB Mohd Rusli Abdullah pada Persidangan Kali Kedua Bagi Tempoh Penggal Keempat Dewan Negeri Kelantan, hari ini.
Mengulas impak langsung dan jangka pendek, beliau memaklumkan, Pengkalan Kubor dijangka menerima manfaat ketara menerusi pembangunan perbandaran sempadan apabila hubungan berkenaan direalisasikan.
“Kalau tengok impak langsung ataupun jangka pendek, dijangka memberi impak ekonomi yang besar kepada, terutamanya kawasan Pengkalan Kubor di Tumpat dari segi pembangunan perbandaran sempadan itu sendiri.
“Maknanya kita boleh mengadakan pembangunan bercampur di kawasan tersebut dan dengan sendirinya akan melonjakkan dari segi kediaman, perniagaan dan sebagainya,” katanya.
Menurutnya, perubahan pola akses ke kawasan sempadan juga perlu diambil kira dalam perancangan pembangunan kerana hubungan rentas sempadan yang lebih baik berpotensi meningkatkan pergerakan penduduk serta aktiviti ekonomi setempat.
Dalam jangka panjang, katanya, jaringan berkenaan turut berpotensi disambungkan secara langsung dengan Lebuh Raya Pantai Timur 3 (LPT3) sekiranya projek lebuh raya itu direalisasikan.
Beliau berkata, kerajaan negeri berharap LPT3 dapat dilaksanakan kerana penyambungan tersebut mampu memberi nilai tambah kepada sistem pengangkutan, keterhubungan wilayah serta pembangunan ekonomi Kelantan.
Sementara itu, Dato’ Izani berkata, kerajaan negeri setakat ini belum menerima sebarang maklumat rasmi daripada Kerajaan Persekutuan berhubung kekangan teknikal, isu keselamatan sempadan atau halangan diplomatik daripada kedua-dua negara berkaitan cadangan hubungan Pengkalan Kubor-Tak Bai.
“Setakat hari ini, tiada sebarang maklumat rasmi daripada Kerajaan Persekutuan berkenaan kekangan teknikal, isu keselamatan sempadan ataupun halangan diplomatik daripada kedua-dua pihak.
“Maknanya kalau tengok benda itu agak positif, jangka masa perundingan antara Kerajaan Malaysia dan Kerajaan Thailand,” katanya.
Beliau juga berkata, sebelum ini, kerajaan negeri memaklumkan semua skop kajian awal bagi cadangan pembinaan jalan raya dan jambatan baharu yang menghubungkan Pengkalan Kubor dengan Tak Bai telah disempurnakan.
"Kajian berkenaan merangkumi impak trafik, penilaian awal impak alam sekitar dan sosial, reka bentuk konsep, kerja ukur tanah, siasatan tapak serta reka bentuk awalan.
"Kesemua hasil kajian telah dikemukakan kepada JKR (Jabatan Kerja Raya), tindakan selanjutnya bergantung pada hasil perbincangan antara Kerajaan Malaysia dengan Kerajaan Thailand," ujarnya.







