Accessibility Tools

Skip to main content

Kajian awal jambatan Pengkalan Kubor–Tak Bai selesai, projek fizikal tunggu kelulusan

  • 12 August 2026
  • Oleh: Irham Hilmi Hashim
  • 36

KOTA DARULNAIM, 12 Ogos — Semua tujuh skop kajian awal bagi cadangan pembinaan jalan dan jambatan sempadan antarabangsa yang menghubungkan Pengkalan Kubor, Tumpat dengan Tak Bai, Narathiwat, Thailand telah selesai dilaksanakan, sekali gus menyediakan asas teknikal bagi menentukan lokasi dan jajaran projek berkenaan.

Exco Kerjaraya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar YB Dato’ Izani Husin berkata, pelaksanaan kerja awalan pembinaan jalan dan jambatan baharu itu telah diluluskan Agensi Pusat di bawah Rolling Plan 3 (RP3), Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMKe-12) dengan kos siling RM8 juta.

Menurutnya, tujuh skop kajian yang telah disempurnakan merangkumi kajian impak trafik, penilaian awal impak alam sekitar, penilaian awal impak sosial, reka bentuk konsep, kerja ukur tanah, kerja siasatan tapak serta reka bentuk awalan.

“Semua skop kerja awalan bagi projek tersebut telah disempurnakan. JKR telah dilaporkan dan semua pandangan serta penemuan daripada kajian-kajian ini telah lengkap dan dihantar kepada JKR,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Negeri (ADN) Wakaf Bharu YB Mohd Rusli Abdullah pada Persidangan Kali Kedua Bagi Tempoh Penggal Keempat Dewan Negeri Kelantan di Kota Darulnaim, hari ini.

Menurut Dato' Dr. Izani lagi, pelaksanaan kerja awalan itu penting bagi menentukan lokasi serta jajaran paling sesuai untuk pembinaan jambatan baharu Malaysia–Thailand dan jalan baharu yang menjadi sebahagian daripada projek berkenaan.

Walau bagaimanapun, penyempurnaan kajian awal itu belum bermakna projek fizikal telah mendapat kelulusan untuk dilaksanakan kerana pembinaannya masih tertakluk kepada keutamaan projek Kerajaan Negeri serta pertimbangan dan kelulusan Agensi Pusat.

Oleh itu, tambahnya, permohonan bagi pelaksanaan projek seterusnya akan diangkat oleh Kementerian Kerja Raya kepada Agensi Pusat untuk pertimbangan dan kelulusan.

Dalam pada itu, Dato' Dr. Izani menjelaskan, langkah selanjutnya turut bergantung kepada perbincangan antara Kerajaan Malaysia dengan Kerajaan Thailand memandangkan projek tersebut melibatkan hubungan rentas sempadan antarabangsa dan memerlukan penyelarasan kedua-dua negara.

“Sekarang ini kita hanya tengok perkara-perkara lain yang boleh diteruskan, bergantung kepada perbincangan antara kita dengan Thailand.

“Apapun, di pihak kita, kajian selesai,” jelasnya.

Pautan berjaya disalin!