Kelantan kekal tertinggi tanah Rizab Melayu di Semenanjung Malaysia
-
12 August 2026
-
Oleh: Norzana Razaly
-
32
KOTA DARULNAIM, 12 Ogos — Kelantan kekal mencatatkan peratusan Tanah Rizab Melayu tertinggi di Semenanjung Malaysia apabila 91.5839 peratus daripada keseluruhan tanah berhak milik di negeri ini berada dalam kategori berkenaan sehingga Jun 2026.
Menteri Besar Kelantan YAB Dato’ Panglima Perang Ustaz Dato’ Mohd Nassuruddin Daud berkata, keluasan Tanah Rizab Melayu di negeri ini kini berjumlah 526,083.0796 hektar melibatkan 816,020 hak milik.
Angka itu bermakna lebih sembilan daripada setiap sepuluh hektar tanah berhak milik di Kelantan merupakan Tanah Rizab Melayu, manakala baki 8.4161 peratus atau 48,344.5291 hektar berada di luar kawasan rizab berkenaan.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Negeri (ADN) Pasir Tumboh YB Dato’ Abdul Rahman Yunus berhubung keluasan semasa Tanah Rizab Melayu serta sama ada berlaku penyusutan akibat pembangunan bandar atau pembatalan status tanah pada Persidangan Kali Kedua Bagi Tempoh Penggal Keempat Dewan Negeri Kelantan Yang Kelima Belas Tahun 2026, hari ini.
Dato' Mohd Nassuruddin juga memaklumkan, Gua Musang merekodkan keluasan Tanah Rizab Melayu terbesar di Kelantan iaitu 122,735.5417 hektar, diikuti Pasir Mas seluas 56,656.7894 hektar sementara Tanah Merah pula mencatatkan keluasan 56,246.1290 hektar, manakala Kuala Krai merangkumi 53,473.8493 hektar.
Walau bagaimanapun, dari segi peratusan tanah berhak milik yang berstatus Rizab Melayu, Tanah Merah merekodkan kadar tertinggi iaitu 99.9982 peratus.
Dalam pada itu, Menteri Besar Kelantan menegaskan bahawa tiada penyusutan kawasan Tanah Rizab Melayu di Kelantan.
“Pihak Berkuasa Negeri terus mengawal urus niaga dalam kawasan Rizab Melayu dan mempunyai kuasa untuk tidak membenarkan urus niaga yang boleh menjejaskan kepentingan Rizab Melayu,” jelasnya.







