Accessibility Tools

Skip to main content

Kelantan Ventures teroka peluang pelaburan industri petroleum dan gas

  • 12 August 2026
  • Oleh: Irham Hilmi Hashim
  • 49

KOTA DARULNAIM, 12 Ogos — Kerajaan Negeri Kelantan melalui Kelantan Ventures Sdn. Bhd. sedang membina kapasiti bagi meneroka peluang pelaburan serta menjalin kerjasama dengan syarikat berwibawa dalam rantaian nilai industri petroleum dan gas, sekali gus membuka ruang penyertaan negeri secara lebih tersusun dan strategik dalam sektor berkenaan.

Timbalan Menteri Besar Kelantan YB Dato’ Mohamed Fadzli Dato’ Hassan berkata, langkah itu merupakan sebahagian daripada aspirasi kerajaan negeri untuk memastikan manfaat sumber asli Kelantan dapat dinikmati rakyat secara langsung dan tidak langsung serta menyumbang kepada pembangunan ekonomi negeri yang mampan.

Menurutnya, hasrat memperluas penglibatan Kelantan dalam industri petroleum dan gas perlu dilaksanakan dengan mengambil kira kerangka perundangan sedia ada termasuk Akta Pembangunan Petroleum 1974 serta kedudukan Perlembagaan Persekutuan.

“Kerajaan Negeri Kelantan sedang berusaha untuk memperkukuhkan penglibatan Kelantan dalam industri petroleum dan gas bagi memastikan manfaat daripada sumber asli negeri ini dapat dinikmati oleh rakyat secara langsung dan tidak langsung serta menyumbang kepada pembangunan ekonomi negeri secara mampan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Negeri (ADN) Pengkalan Pasir, YB Mohamadd Nasriff Daud Yatimee pada Persidangan Kali Kedua Bagi Tempoh Penggal Keempat Dewan Negeri Kelantan, hari ini.

Mengulas lanjut, Dato' Dr. Mohamed Fadzli menjelaskan kedudukan Kelantan tidak boleh dibandingkan secara langsung dengan Sarawak berikutan negeri itu mempunyai kedudukan dan hak tertentu dalam kerangka Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Sehubungan itu, kerajaan negeri mengambil pendekatan berdasarkan ruang perundangan sedia ada dengan membangunkan kapasiti institusi serta meneroka peluang penyertaan dalam rantaian nilai industri petroleum dan gas.

Menurutnya, Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) telah menubuhkan Kelantan Ventures Sdn. Bhd. sebagai syarikat tujuan khas bagi meneroka peluang penyertaan negeri dalam industri berkenaan secara lebih terancang.

“Melalui Kelantan Ventures Sdn. Bhd., Kelantan sedang membina kapasiti untuk meneroka peluang pelaburan serta menjalin kerjasama dengan syarikat yang berwibawa dalam rangkaian nilai industri petroleum dan gas,” jelasnya.

Menurutnya lagi, antara bidang yang diberi tumpuan ialah pembangunan 'supply base', logistik serta perkhidmatan sokongan sektor huluan dan hiliran, selain meneroka peluang dalam sektor tenaga bagi memperluas penyertaan Kelantan dalam industri berkaitan.

Pendekatan itu turut mengambil kira perkembangan Northern Offshore Oil and Gas Corridor yang melibatkan Tok Bali Supply Base (TBSB) dan Tok Bali Industrial Park (TBIP) serta potensi integrasinya dengan rangkaian logistik Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) pada masa hadapan.

“Matlamat akhirnya adalah memastikan penyertaan Kelantan dalam industri petroleum dan gas dapat diperkasakan secara berperingkat, bertanggungjawab dan mampan supaya manfaat daripada pembangunan sektor ini dapat dipulangkan kepada negeri dan dinikmati oleh rakyat Negeri Kelantan,” katanya.

Pautan berjaya disalin!