Dr. Wan Martina sokong penggubalan RUU Kesalahan Syariah Kelantan 2026
-
12 August 2026
-
Oleh: Irham Hilmi Hashim
-
39
KOTA BHARU, 12 Ogos – Ahli Dewan Negara YB Senator Wan Martina Wan Yusoff menyatakan sokongan terhadap usaha Kerajaan Negeri Kelantan memperkukuh kerangka perundangan syariah melalui penggubalan Rang Undang-Undang Kesalahan Syariah (Kelantan) 2026.
Menurutnya, sebagai sebuah negeri yang mempunyai sejarah panjang dalam penghayatan Islam, usaha memperkemas perundangan syariah merupakan langkah yang wajar diberi perhatian serius serta dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab.
Beliau berkata, kedudukan Islam yang menjadi sebahagian daripada identiti dan kehidupan masyarakat Kelantan turut menjadikan usaha pengukuhan perundangan syariah sebagai perkara penting dalam memastikan nilai agama dan kepentingan masyarakat dapat bergerak seiring.
“Saya merakamkan penghargaan dan menyatakan sokongan terhadap usaha Kerajaan Negeri Kelantan dalam memperkukuh kerangka perundangan syariah melalui penggubalan Rang Undang-Undang Kesalahan Syariah (Kelantan) 2026,” katanya menerusi media sosialnya, semalam.
Dalam pada itu, beliau berpandangan penggubalan RUU berkenaan penting dalam usaha memperkukuh kepastian undang-undang serta mengisi ruang perundangan yang timbul susulan perkembangan dan keputusan mahkamah berkaitan bidang kuasa serta pelaksanaan undang-undang syariah.
Walau bagaimanapun, beliau menegaskan setiap proses penggubalan dan pelaksanaan undang-undang perlu sentiasa berteraskan prinsip keadilan, ketelusan, keluhuran undang-undang, bidang kuasa yang sah serta pematuhan kepada Perlembagaan Persekutuan.
Menurutnya, pendekatan tersebut penting bagi memastikan perundangan syariah terus diyakini, dihormati dan dilaksanakan dengan penuh hikmah.
“Pengukuhan undang-undang syariah tidak seharusnya dilihat semata-mata dari sudut penguatkuasaan dan hukuman. Ia perlu bergerak seiring dengan pendidikan, dakwah, pencegahan, pemulihan serta pengukuhan institusi keluarga dan masyarakat,” jelasnya.
Sehubungan itu, Dr. Wan Martina berkata kerjasama erat antara kerajaan negeri, pihak berkuasa agama, institusi pendidikan, keluarga, masyarakat sivil dan seluruh rakyat perlu diperkasakan bagi memastikan matlamat membentuk masyarakat yang berakhlak, bertanggungjawab dan sejahtera dapat dicapai secara menyeluruh.
Tambahnya, usaha tersebut merupakan sebahagian daripada ikhtiar bagi memastikan undang-undang, nilai agama dan kepentingan masyarakat dapat bergerak seiring demi membina Kelantan yang lebih sejahtera, berintegriti dan berteraskan nilai Islam.
Beliau turut mendoakan agar Kerajaan Negeri Kelantan istiqamah dalam usaha tersebut.
“Semoga Allah SWT memberikan kekuatan dan kebijaksanaan kepada Kerajaan Negeri Kelantan dalam melaksanakan amanah ini demi kedaulatan undang-undang, kesejahteraan rakyat dan kemaslahatan ummah,” ujarnya.







