Accessibility Tools

Skip to main content

RUU Kesalahan Syariah 2026 jawapan perundangan Kelantan -YB Nik Bahrum

  • 11 August 2026
  • Oleh: Norzana Razaly
  • 37

KOTA DARULNAIM, 11 Ogos — Rang Undang-Undang (RUU) Kesalahan Syariah (Kelantan) 2026 disifatkan sebagai jawapan perundangan Kelantan susulan keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes Nik Elin, dengan kerangka baharu dirangka lebih cermat bagi memanfaatkan ruang kompetensi Badan Perundangan Negeri yang diperuntukkan Perlembagaan Persekutuan.

Timbalan Exco Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta YB Nik Bahrum Nik Abdullah berkata, RUU yang mengandungi sembilan bahagian, 62 seksyen dan satu jadual itu menggantikan 16 peruntukan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) 2019 yang dibatalkan Mahkamah Persekutuan pada 9 Februari 2024.

“Sebab itu Rang Undang-Undang ini bukan lambang kita berundur selepas Nik Elin. Ini adalah jawapan perundangan Kelantan terhadap Nik Elin,” katanya ketika membahaskan RUU berkenaan pada Persidangan Kali Kedua Bagi Tempoh Penggal Keempat Dewan Negeri Kelantan Yang Kelima Belas Tahun 2026, hari ini.

Menurutnya, keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes berkenaan perlu difahami dalam konteks kompetensi perundangan, khususnya pembahagian bidang kuasa antara Parlimen dengan Badan Perundangan Negeri berdasarkan Senarai Persekutuan dan Senarai Negeri dalam Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan.

Katanya, keputusan tersebut tidak bermaksud Badan Perundangan Negeri kehilangan keseluruhan kuasa menggubal undang-undang berkaitan kesalahan syariah, sebaliknya memperjelas sempadan kuasa yang perlu dipatuhi.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Chempaka yang juga pengamal undang-undang itu berkata, kerajaan negeri mengambil pendekatan meneliti semula keseluruhan kerangka perundangan selepas keputusan berkenaan dengan sebuah jawatankuasa dibentuk sejak pertengahan 2024, menghimpunkan kepakaran undang-undang sivil dan syariah, pakar Perlembagaan, ahli akademik serta pegawai kehakiman syariah.

Menurutnya, Maqasid Syariah pula menyediakan kerangka lebih menyeluruh dengan memberi penekanan kepada pemeliharaan agama, nyawa, akal, harta serta keturunan dan kehormatan manusia. “Ini penting kerana apabila orang bercakap mengenai undang-undang jenayah Islam, perhatian sering diberikan kepada hukuman. Sedangkan syariah tidak bermula dengan hukuman. Syariah bermula dengan apa yang hendak dipelihara,” katanya.

Dari sudut dasar awam, YB Nik Bahrum berkata penggubalan semula undang-undang selepas sesuatu keputusan mahkamah merupakan sebahagian daripada proses biasa dalam sistem yang menjunjung kedaulatan undang-undang.

"Mahkamah menjalankan fungsi mentafsir Perlembagaan, kerajaan pula meneliti implikasi keputusan tersebut, manakala Ahli Dewan Negeri bertanggungjawab membahas dan membuat keputusan terhadap undang-undang yang dikemukakan.

"RUU ini tidak bertujuan memaksakan pendekatan Kelantan kepada negeri lain dan tidak terpakai kepada orang bukan Islam. Apa yang kita lakukan adalah sekadar menggunakan ruang perundangan yang diperuntukkan kepada negeri untuk menggubal kesalahan terhadap perintah agama Islam bagi orang Islam, dalam batas yang ditentukan oleh Perlembagaan,” jelasnya.

Mengimbau perkembangan undang-undang Islam di negara ini, beliau merujuk kes Ramah v Laton pada 1927 serta pindaan Perkara 121(1A) Perlembagaan Persekutuan pada 1988 sebagai sebahagian daripada perjalanan panjang kedudukan undang-undang Islam dan Mahkamah Syariah.

Beliau berpandangan, tanggungjawab generasi semasa untuk mempertahankan ruang perundangan yang diwarisi dan mengisinya dengan peruntukan yang lebih cermat, kukuh dan menepati kompetensi negeri.

Mengakhiri perbahasan, YB Nik Bahrum berkata keputusan 9 Februari 2024 tidak seharusnya menjadi noktah kepada perkembangan perundangan syariah di Kelantan, sebaliknya menjadi titik untuk penelitian dan penggubalan yang lebih teliti.

“Ada kalanya dalam perjalanan perundangan, satu pintu ditutup oleh keputusan mahkamah. Tanggungjawab kita bukan merempuh pintu yang telah ditutup itu. Tanggungjawab seorang penggubal undang-undang ialah mencari pintu lain yang dibenarkan oleh Perlembagaan, lalu melaluinya dengan ilmu, hikmah dan keberanian,” ujarnya.

Pautan berjaya disalin!