Accessibility Tools

Skip to main content

RUU Kesalahan Syariah 2026 langkah cegah jenayah – YB Zameri

  • 11 August 2026
  • Oleh: Syamimi Manah
  • 38

KOTA DARULNAIM, 11 Ogos - Pembentangan Rang Undang-Undang Kesalahan Syariah (Kelantan) 2026 merupakan komitmen dan kesungguhan Kerajaan Negeri Kelantan dalam memastikan rakyat menjadi insan bertakwa serta warganegara yang baik.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Jelawat YB Zameri Mat Nawang berkata, langkah berkenaan turut menjadi usaha kerajaan dalam mencegah jenayah menerusi bidang kuasa yang diberikan oleh undang-undang kepada kerajaan negeri.

“Ini merupakan satu komitmen kesungguhan dan dibuat dengan penuh rasa tanggungjawab sebagai kerajaan untuk memastikan rakyat dalam negeri ini menjadi insan yang bertakwa dan menjadi seorang warganegara yang baik.

“Langkah yang diambil pada hari ini adalah satu langkah untuk mencegah jenayah dengan bidang kuasa yang diberikan oleh undang-undang kepada kerajaan negeri” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan RUU Kesalahan Syariah (Kelantan) 2026 pada Persidangan Kali Kedua Bagi Tempoh Penggal Keempat Dewan Negeri Kelantan Yang Kelima Belas Tahun 2026, hari ini.

Menurutnya, usaha mencegah jenayah bukan hanya menjadi tanggungjawab Kerajaan Persekutuan atau kerajaan negeri, sebaliknya memerlukan penglibatan seluruh masyarakat termasuk imam, ketua kampung, ibu bapa, ulama dan guru-guru pondok.

"Sokongan yang dizahirkan terhadap kerajaan negeri menunjukkan kesatuan hati dalam usaha memartabatkan syariah di Kelantan demi kepentingan rakyat seluruhnya.

“Berhubung prosedur dan SOP, ia terkandung jelas dalam Tatacara Jenayah Syariah Negeri Kelantan, manakala aspek keterangan pula dirujuk di bawah Enakmen Keterangan Mahkamah Syariah,” jelasnya.

Dalam pada itu, beliau menegaskan setiap proses penggubalan undang-undang di negeri ini perlu melalui Penasihat Undang-Undang Negeri yang datangnya daripada Jabatan Peguam Negara bagi menjamin integriti perundangan.

Beliau turut menyaran supaya usaha memperkasakan undang-undang disusuli dengan pengukuhan institusi yang bertanggungjawab melaksanakannya, khususnya Bahagian Penguatkuasaan Syariah Negeri Kelantan.

“Selain memperkasakan undang-undang, kita mesti memperkasakan institusi yang menjalankannya, terutamanya Bahagian Penguatkuasaan Syariah Negeri Kelantan.

“Kerajaan perlu menambah pegawai penyiasatan dan tangkapan supaya undang-undang yang kita gubal ini dapat dijalankan dengan penuh berkesan dan dengan cara yang terbaik,” ujarnya.

Pautan berjaya disalin!