Kelantan sedia RM20,000 bangunkan industri kopi
-
11 August 2026
-
Oleh: Asri Hamat
-
39
KOTA DARULNAIM, 11 Ogos - Kerajaan Negeri Kelantan memperuntukkan RM20,000 bagi pembangunan tanaman dan pemprosesan kopi di negeri ini pada tahun 2026.
Exco Pertanian, Industri Agromakanan dan Komoditi YB Dato' Tuan Mohd Saripudin berkata, peruntukan di bawah Program Pembangunan Tanaman Kopi dan Pemprosesan Kopi itu disediakan bagi membantu pengusaha dan petani meningkatkan produktiviti tanaman menerusi bantuan input pertanian serta pembangunan infrastruktur asas.
Katanya, antara bantuan yang disalurkan termasuk pemasangan sistem pengairan renjis dan pembekalan baja tanaman bagi meningkatkan pertumbuhan, produktiviti serta kualiti hasil kopi.
"Inisiatif ini adalah sebahagian daripada usaha kerajaan negeri untuk menggalakkan pembangunan industri kopi sebagai komoditi bernilai tambah yang berpotensi, selain menyokong perkembangan industri makanan dan minuman (F&B) serta mewujudkan peluang ekonomi baharu kepada pengusaha pertanian di Kelantan." katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan (ADN) Salor YB Saizol Ismail di Persidangan Kali Yang Kedua Bagi Tempoh Penggal Keempat Dewan Negeri Kelantan Yang Kelima Belas tahun 2026, hari ini.
Menurut Dato' Tuan Mohd Saripudin lagi, tanaman kopi ketika ini diusahakan di dua jajahan iaitu Gua Musang dan Kuala Krai.
"Di Gua Musang, tanaman kopi diusahakan bersama Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (KESEDAR) dengan keluasan 15.5 hektar membabitkan 15,000 pokok daripada varieti Robusta.
"Di Kuala Krai pula, tanaman kopi diusahakan seorang pengusaha di kawasan seluas dua ekar dengan jumlah 250 pokok, juga menggunakan varieti Robusta," katanya.
Tambahnya, kerajaan negeri turut mencuba penanaman dua lagi varieti kopi iaitu Liberica dan Arabica, dengan Arabica sesuai ditanam di kawasan tanah tinggi seperti Tanah Tinggi Lojing.
Menjawab soalan tambahan dari ADN yang sama yang bertanya mengenai perancangan kerajaan negeri untuk membangunkan industri kopi secara lebih serius susulan peningkatan pertumbuhan kopitiam dan kedai kopi berjenama di Kelantan, beliau berkata kerajaan negeri melalui Perbadanan Kemajuan Pertanian Negeri Kelantan (PKPNK) bersama Jabatan Pertanian dan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) merancang membangunkan projek penanaman kopi seluas 50 ekar di Machang.
Katanya, kerjasama strategik berkenaan diharap dapat merealisasikan projek berkenaan sebagai antara langkah memperkukuh pembangunan tanaman kopi di Kelantan.
"Kerana itulah kita di bawah PKPNK telah merancang bersama Jabatan Pertanian dan MARDI untuk membangunkan projek penanaman kopi seluas 50 ekar di Machang," ujarnya.
Beliau juga menjelaskan, rancangan itu turut membolehkan Kelantan mengurangkan kebergantungan sepenuhnya kepada import biji kopi untuk diproses.
"Jadi sudah ada perancangan supaya kita tidak lagi bergantung sepenuhnya kepada import biji-biji kopi ini untuk diproses.
Insya Allah, kalau Perak sudah ada Kopi Perak, suatu hari nanti Kelantan juga ada Kopi Kelantan," katanya.








