Accessibility Tools

Skip to main content

Pelbagai saluran permohonan mudahkan wanita, ibu tunggal akses bantuan – Dato’ Rohani

  • 11 August 2026
  • Oleh: Syamimi Manah
  • 32

KOTA DARULNAIM, 11 Ogos - Pelbagai saluran permohonan disediakan bagi memudahkan wanita dan ibu tunggal di Kelantan mendapatkan akses kepada bantuan yang disediakan kerajaan negeri.

Exco Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita, YB Dato’ Rohani Ibrahim berkata, antara saluran yang disediakan termasuk pengambilan borang di kaunter Pusat Transformasi Bandar (UTC), melalui Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Negeri (DUN) serta agensi berkaitan.

“Selain itu, edaran borang secara atas talian turut disediakan bagi memudahkan wanita dan ibu tunggal mengemukakan permohonan bantuan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Ahli Dewan Negeri (ADN)Tendong YB Rozi Mohamad pada Persidangan Kali Kedua bagi Tempoh Penggal Keempat Dewan Negeri Kelantan Yang Kelima Belas Tahun 2026, hari ini.

Menurutnya, setiap permohonan akan disemak berdasarkan data dan rekod sedia ada bagi memastikan pemohon memenuhi kelayakan yang ditetapkan serta mengelakkan berlakunya pertindihan bantuan.

Dato’ Rohani memaklumkan, pendekatan tersebut penting bagi memastikan bantuan dapat disalurkan kepada golongan yang benar-benar layak secara teratur dan berkesan.

“Latihan kemahiran dan program keusahawanan turut diperluaskan ke kawasan luar bandar dengan kerjasama pelbagai agensi supaya wanita dan ibu tunggal yang layak tidak tercicir daripada menerima manfaat,”ujarnya.

Tambahnya, peluasan program berkenaan memberi peluang kepada wanita dan ibu tunggal di kawasan luar bandar untuk mendapatkan kemahiran serta menyertai program keusahawanan tanpa perlu bergantung kepada lokasi sebagai penghalang.

"Usaha tersebut turut menjadi sebahagian daripada pendekatan kerajaan negeri dalam memperluas akses kepada program pembangunan ekonomi dan kebajikan untuk golongan wanita serta ibu tunggal di seluruh Kelantan," jelasnya.

Pautan berjaya disalin!