2,727 wanita, ibu tunggal terima bantuan peralatan dan sosioekonomi sejak 2023 – Dato’ Rohani
-
11 August 2026
-
Oleh: Syamimi Manah
-
32
KOTA DARULNAIM, 11 Ogos - Sebanyak 2,727 wanita dan ibu tunggal di Kelantan menerima bantuan peralatan perniagaan serta bantuan sosioekonomi sejak tahun 2023 hingga 2026 dalam usaha membantu golongan berkenaan meningkatkan keupayaan ekonomi dan pendapatan keluarga.
Exco Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita YB Dato’ Rohani Ibrahim berkata, jumlah tersebut merangkumi 1,053 penerima Bantuan Tabung Usahawan Wanita (TUW) dalam bentuk peralatan perniagaan serta 1,674 penerima Bantuan Sosio-Ekonomi Armalah.
“Selain bantuan tersebut, kerajaan negeri turut menyediakan pelbagai program sokongan pemasaran dan latihan kemahiran kepada golongan wanita dan ibu tunggal,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Negeri (ADN) Kota Lama YB Dr Hafidzah Mustakim pada Persidangan Kali Kedua bagi Tempoh Penggal Keempat Dewan Negeri Kelantan Yang Kelima Belas Tahun 2026, hari ini.
Menurutnya, antara program yang dilaksanakan termasuk Bengkel Jahitan PPWK yang melibatkan 1,248 pelatih, Bengkel Sulaman Kelingkan sejumlah 64 orang dan Bengkel Tenunan Songket, 36 orang.
“Turut dilaksanakan Kelas DIY Bouquet dan Pembungkusan Hamper yang melibatkan 9,186 peserta dari 45 DUN,” ujarnya.
Dato’ Rohani memaklumkan, kerajaan negeri turut melaksanakan Program Two Years Exit Programme (2YEP) di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi membantu peserta keluar daripada kebergantungan kepada bantuan melalui latihan kemahiran dan keusahawanan.
Katanya, peserta 2YEP turut menerima bantuan modal sebanyak RM5,000 selain bimbingan dan pemantauan bagi memastikan perniagaan yang dijalankan dapat berkembang.
“Berdasarkan penilaian, 50 peratus peserta berjaya meningkatkan pendapatan selepas menyertai program tersebut,” jelasnya.
Tambahnya, antara pencapaian penerima termasuk PPWK Jelawat menerusi penghasilan produk beg menggunakan fabrik batik asli Kelantan yang dihasilkan melalui teknik batik lukis dan batik blok.
“Selain itu, projek tuala kain wanita (clothpad) telah menghasilkan 3,000 unit tempahan melibatkan 10 Darul Niswah (PPWK) untuk diagihkan kepada remaja wanita B40,” katanya.
Menurutnya lagi, beberapa alumni PPWK turut berjaya mengembangkan perniagaan masing-masing, antaranya alumni PPWK Kelaboran Thanissara Suwanchakri A/P Eron yang mengusahakan TNS Collection dengan menjual barangan bayi dan lain-lain.
“Turut berjaya ialah alumni PPWK Pengkalan Kubor Siti Rabihah Mohd Hamzah yang mengusahakan Bonda Sewing & Crafty dengan menjual produk barangan kekabu asli dan barangan bayi.
“Alumni PPWK Tanjong Mas Shamihah Berahim pula menjalankan perniagaan Shahimah Fashion & Craft dari rumah yang menawarkan perkhidmatan jahitan, sulaman dan kraftangan,”ujarnya.
Dato’ Rohani berkata, penerima bantuan masih aktif menjalankan aktiviti perniagaan masing-masing, manakala penilaian terhadap keberkesanan bantuan sedang dilaksanakan melalui kaedah soal selidik dengan kerjasama Pusat Khidmat DUN.
Dalam pada itu, katanya, kerajaan negeri turut bekerjasama dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dengan menyediakan taklimat dan penerangan berkaitan manfaat i-SURI kepada golongan ibu tunggal.








