Accessibility Tools

Skip to main content

RUU Kesalahan Syariah Kelantan 2026 perkasa ijtihad dalam kerangka Perlembagaan

  • 11 August 2026
  • Oleh: Norzana Razaly
  • 38

KOTA DARULNAIM, 11 Ogos - Usaha menggubal Rang Undang-Undang (RUU) Kesalahan Syariah (Kelantan) 2026 membuktikan undang-undang syariah berupaya terus berkembang melalui proses ijtihad undang-undang yang mengambil kira prinsip maqasid syariah, kedaulatan Perlembagaan Persekutuan serta Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan.

Timbalan Menteri Besar Kelantan YB Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, pendekatan penggubalan RUU berkenaan turut mengambil kira implikasi penghakiman kes Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid serta ruang lingkup kuasa dan kompetensi Dewan Negeri Kelantan.

“Tindakan menggubal semua RUU ini membuktikan bahawa undang-undang syariah sentiasa mampu berkembang melalui proses ijtihad undang-undang, selaras dengan prinsip maqasid syariah dan kedaulatan perlembagaan negara serta Undang-undang Tubuh Negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengemukakan RUU Kesalahan Syariah (Kelantan) 2026 pada Persidangan Kali Kedua Bagi Tempoh Penggal Keempat Dewan Negeri Kelantan Yang Kelima Belas Tahun 2026, hari ini.

Menurutnya, penggubalan tersebut dibuat berdasarkan kajian dan penyelidikan pakar undang-undang menerusi jawatankuasa teknikal yang ditubuhkan kerajaan negeri bagi meneliti kedudukan perundangan selepas keputusan kes berkenaan.

Beliau memaklumkan, hasil penelitian tersebut menyaksikan tiga peruntukan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) 2019 tidak digubal semula, iaitu Seksyen 31 berkaitan gangguan seksual, Seksyen 36 mengenai apa-apa yang mengkhayalkan serta Seksyen 39 berhubung pengurangan skala, ukuran dan berat.

“Langkah tidak menggubal semula tiga peruntukan tersebut kerana kerajaan negeri menghormati bidang kuasa Persekutuan yang mana akta-akta Persekutuan sedia ada bagi menangani kesalahan berkaitan,” ujarnya.

Beliau turut menjelaskan, setiap kesalahan yang digubal menerusi RUU berkenaan mempunyai punca hukum yang jelas berlandaskan hukum syarak.

Menurut Dato' Dr. Mohamed Fadzli lagi, RUU itu juga menyediakan bab huraian yang memperincikan taklifan syarak ke atas orang Islam sebagai sumber hukum dalam konteks kesalahan syariah.

“Setiap kesalahan yang digubal adalah berdasarkan punca hukum yang jelas berpandukan hukum syarak,” katanya.

Beliau menyatakan, Jawatankuasa Teknikal yang diwujudkan kerajaan negeri dipengerusikan Ahli Dewan Negeri (ADN) Melor YB Wan Rohimi Wan Daud yang juga seorang peguam.

Jawatankuasa berkenaan turut melibatkan pakar undang-undang dan perlembagaan dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Malaya dan Kolej Universiti Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra serta peguam kanan.

Tambahnya, sebanyak 14 pakar perundangan menerusi dua jawatankuasa terlibat secara intensif dalam 10 bengkel perundangan serta beberapa siri mesyuarat bagi meneliti kerangka penggubalan tersebut.

“Mereka membuat kajian, mengendalikan sumbang saran, meneliti semula implikasi keputusan kepada Nik Elin dan kes-kes terdahulu, membedah semula ruang lingkup kuasa dan kompetensi DUN berdasarkan Undang-undang Tubuh Negeri Kelantan dan Perlembagaan Persekutuan.

“Setiap kesalahan yang digubal adalah berdasarkan punca hukum yang jelas berpandukan hukum syarak,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau menegaskan terdapat kekeliruan berhubung undang-undang syariah khususnya berkaitan kewajipan atau taklifan serta sumber hukum dalam konteks hukum syarak.

Menurutnya, perkara tersebut perlu difahami secara tepat supaya kedudukan kesalahan syariah dapat dinilai dalam kerangka hukum dan perundangan yang berkaitan.

"Pelanggaran terhadap taklifan syarak oleh seseorang Muslim menjadi asas kepada kesalahan syariah sebagaimana diperincikan dalam RUU berkenaan.

“RUU ini memperuntukkan kadar hukuman yang lebih berat dan menjadikan hukum sebat sebagai keutamaan bagi kesalahan-kesalahan berat seperti percubaan keluar Islam, menghapuskan akidah anak atau kanak-kanak di bawah jagaannya, kewajipan menjaga alat kemaluan, kewajipan menjaga anggota atau bahagian badan selain alat kemaluan.

“Selain itu kesalahan minum minuman yang memabukkan, berjudi, persetubuhan luar nikah dan hamil luar nikah, dan juga kesalahan kali kedua,” jelasnya.

Sehubungan itu, beliau mengemukakan RUU berkenaan bagi menggantikan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) 2019.

Pautan berjaya disalin!