Empat mekanisme proaktif selaras pembangunan Wakil Rakyat, PBT
-
11 August 2026
-
Oleh: Norzana Razaly
-
37
KOTA DARULNAIM, 11 Ogos — Kerajaan Negeri Kelantan menggariskan empat mekanisme proaktif bagi memperkemas penyelarasan pembangunan antara wakil rakyat dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), termasuk memperkasakan peranan Ahli Majlis sebagai perantara rasmi serta memanfaatkan platform pertemuan bulanan untuk menentukan hala tuju pembangunan setempat.
Exco Kerjaraya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar YB Dato’ Dr Izani Husin berkata, mekanisme itu turut memberi penekanan kepada komunikasi telus bagi mengelakkan kekeliruan maklumat serta memastikan perancangan pembangunan di setiap kawasan Dewan Negeri (DUN) dapat diselaraskan secara berkesan.
Menurutnya, Ahli Majlis memainkan peranan penting sebagai penghubung antara wakil rakyat dengan PBT dengan membawa isu serta cadangan pembangunan setempat ke mesyuarat pihak berkuasa berkenaan untuk tindakan lanjut.
Pada masa sama, platform pertemuan bulanan perlu dimanfaatkan sepenuhnya sebagai medan penyelarasan, penyelesaian isu dan penetapan hala tuju pembangunan di kawasan masing-masing.
Beliau berkata demikian bagi pihak Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar YB Hilmi Abdullah ketika menjawab soalan Ahli Dewan Negeri (ADN) Gual Ipoh YB Bahari Mohamad Nor pada Persidangan Kali Kedua Bagi Tempoh Penggal Keempat Dewan Negeri Kelantan Yang Kelima Belas Tahun 2026, hari ini.
YB Bahari dalam soalannya meminta kerajaan negeri menyatakan langkah yang diambil bagi mengeratkan hubungan antara wakil rakyat dengan PBT masing-masing dalam melancarkan pelaksanaan rancangan pembangunan di setiap kawasan DUN.
Menjawab soalan tambahan berkaitan pelaksanaan sesi libat urus bersepadu, Dato' Dr. Izani memaklumkan, sesi berkala antara wakil rakyat dan PBT boleh dilaksanakan melalui prosedur permohonan rasmi.
Menurutnya, cadangan pembangunan boleh dikemukakan menerusi surat rasmi bagi membolehkan pembentangan dan penelitian dibuat bersama pihak berkaitan.
"Jawatankuasa teknikal PBT turut dilibatkan bagi meneliti serta menyelesaikan isu secara bersama, khususnya perkara yang memerlukan penyelarasan antara beberapa jabatan atau agensi," ujarnya.








