Accessibility Tools

Skip to main content

Sidang DUN Kelantan alu-alukan kehadiran juara dunia Alif Rakib – YB Zamakhshari

  • 12 August 2026
  • Oleh: Syamimi Manah
  • 37

KOTA DARULNAIM, 12 Ogos - Dewan Negeri Kelantan hari ini mengalu-alukan kehadiran juara dunia interim Muay Thai Strawweight ONE Championship Ahmad Nor Iman Aliff Rakib atau lebih dikenali sebagai Alif Rakib, yang hadir pada Persidangan Dewan Negeri Kelantan, hari ini.

Alif Rakib mencipta sejarah pada 24 Julai lalu selepas menewaskan jaguh Thailand Sam-A Gaiyanghadao, di Stadium Lumpinee, Bangkok sekali gus muncul juara dunia interim Muay Thai Strawweight ONE Championship.

Exco Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat YB Zamakhshari Muhamad berkata, kejayaan anak muda Kelantan itu amat membanggakan kerana berjaya mengharumkan nama negeri dan negara di pentas antarabangsa.

“Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengalu-alukan kehadiran seorang anak muda Kelantan yang baru sahaja mengharumkan nama negeri dan negara di pentas dunia, Saudara Alif Rakib.

“Kita mengalu-alukan selamat datang ke Dewan Negeri Kelantan. Kita semua amat berbangga dengan kejayaan Alif menjadi juara dunia interim ONE Championship selepas menewaskan Mai dari Thailand,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Persidangan Kali Kedua Bagi Tempoh Penggal Keempat Dewan Negeri Kelantan Yang Kelima Belas Tahun 2026, hari ini.

Menurut YB Zamakhshari, kejayaan tersebut membuktikan anak muda Kelantan mempunyai kemampuan untuk mencipta kejayaan di peringkat antarabangsa sekali gus mengangkat nama negeri dan Malaysia melalui bidang sukan.

Pautan berjaya disalin!