Transformasi YIK lahir pelajar 20A, perluas TVET ke 93 sekolah
-
12 August 2026
-
Oleh: Norzana Razaly
-
31
KOTA DARULNAIM, 12 Ogos — Transformasi pendidikan Yayasan Islam Kelantan (YIK) terus mencatat impak apabila berjaya melahirkan pelajar dengan pencapaian sehingga 20A, menyepadukan hafazan 30 juzuk al-Quran dalam kurikulum Maahad Tahfiz Sains serta memperluas persediaan pelaksanaan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) melibatkan 93 sekolah di bawah kelolaannya.
Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi YB Dato’ Wan Roslan Wan Hamat berkata, perkembangan tersebut mencerminkan keupayaan sistem pendidikan YIK menyesuaikan diri dengan perubahan landskap pendidikan negara tanpa mengetepikan teras pendidikan Islam yang menjadi identitinya.
Menurutnya, kekuatan sistem pendidikan YIK dibangunkan berasaskan dua teras kurikulum secara serampang dua mata, iaitu Kurikulum Arab Agama dan Kurikulum Kebangsaan.
"Pendekatan ini membolehkan pelajar mengikuti pengajian agama secara intensif dalam masa sama menguasai mata pelajaran akademik arus perdana yang menjadi asas untuk melanjutkan pengajian dalam pelbagai bidang," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Negeri (ADN) Tawang YB Harun Ismail mengenai tahap persediaan YIK untuk bersaing dengan institusi pendidikan arus perdana dalam landskap pendidikan negara yang semakin kompetitif pada hari kedua Persidangan Kali Kedua Bagi Tempoh Penggal Keempat Dewan Negeri Kelantan Yang Kelima Belas Tahun 2026, hari ini.
Menurut Dato’ Wan Roslan lagi, transformasi pendidikan YIK bukan berlaku secara mendadak, sebaliknya berkembang secara berperingkat sejak lebih tiga dekad lalu berdasarkan tuntutan semasa dan keperluan pendidikan generasi baharu.
"Perkembangan ini bermula dengan penubuhan Maahad Tahfiz wal Qiraat di Pulai Chondong pada 1993, diikuti pengenalan kelas aliran Sains Tulen di Maahad Muhammadi Lelaki dan Maahad Muhammadi Perempuan pada 1995.
"Transformasi tersebut diteruskan menerusi penubuhan Maahad Tahfiz Sains pada 2004 yang menggabungkan pengajian aliran sains dengan hafazan 30 juzuk al-Quran.
"Pada 2016, YIK memperluas pendidikan berorientasikan sains menerusi penubuhan Maahad Sains Tok Guru di Pengkalan Chepa," jelasnya.
Beliau juga memaklumkan, selepas lebih tiga dekad memperkembangkan pendidikan agama, akademik dan sains, YIK kini memasuki fasa baharu apabila TVET diperkenalkan dalam sistem pendidikannya pada 2026 dengan kerjasama Jabatan Pembangunan Kemahiran.
Tambahnya, langkah itu memperluas laluan pendidikan pelajar dengan menyediakan pilihan berasaskan kemahiran dan kompetensi selain laluan akademik konvensional.







