DUN Kelantan lulus RUU Kesalahan Syariah (Kelantan) 2026
-
12 August 2026
-
Oleh: Syamimi Manah
-
41
KOTA DARULNAIM, 12 Ogos - Dewan Negeri Kelantan hari ini meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Kesalahan Syariah (Kelantan) 2026 secara sebulat suara.
Menteri Besar Kelantan YAB Dato’ Panglima Perang Ustaz Dato, Mohd Nassuruddin Daud berkata, kelulusan RUU berkenaan mencerminkan kesepakatan Ahli Yang Berhormat dalam mendukung aspirasi kerajaan negeri untuk memperkukuh perundangan syariah di Kelantan berteraskan Maqasid Syariah.
Beliau berkata, enam Ahli Yang Berhormat yang mengambil bahagian dalam sesi perbahasan iaitu Pasir Tumboh, Galas, Melor, Kota Lama, Jelawat dan Chempaka secara asasnya senada dan seiring dengan aspirasi Kerajaan Negeri Kelantan.
“Saya telah meneliti setiap hujah yang dikemukakan sepanjang sesi perbahasan. Pelbagai sudut pandang telah disentuh, daripada prinsip asas dalam menunaikan tanggungjawab beragama serta aspek prosedur dan teknikal perundangan, hinggalah kepada usaha meningkatkan kemudahan dan keselesaan prasarana,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan RUU berkenaan pada hari kedua Persidangan Kali Kedua Bagi Tempoh Penggal Keempat Dewan Negeri Kelantan Yang Kelima Belas Tahun 2026, hari ini.
Menurutnya, RUU tersebut merupakan naskhah perundangan yang telah diberi nilai tambah dengan penuh ketelitian melalui pelbagai peringkat sebelum dibawa ke Dewan Persidangan.
"Keistimewaan RUU berkenaan terletak pada pembugarannya yang berpaksikan Maqasid Syariah, dengan setiap peruntukan kesalahan disusun secara rapi bagi memastikan perundangan itu selari dengan objektif pensyariatan Islam.
“Pendekatan ini bukanlah suatu langkah yang asing kerana ia merupakan roh yang telah sedia wujud dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah Kelantan (EKJS) 2019.
“Namun pada hari ini, kita melangkah setapak lagi dengan memperkemas dan memperkukuh susunannya agar ia tampil lebih sistematik, lebih jelas dan lebih berwibawa,” ujarnya.
Menteri Besar Kelantan juga memaklumkan, RUU itu merangkumi lima objektif utama Maqasid Syariah iaitu penjagaan agama, nyawa, akal, harta serta keturunan dan nasab.
Mengulas lanjut beliau menjelaskan, Bahagian 2 berkaitan penjagaan agama merangkumi 11 fasal yang antara lain bertujuan memelihara akidah rakyat daripada perkara seperti khurafat, dakwaan palsu berkaitan agama, percubaan keluar agama, memperlekeh ajaran atau syiar agama serta mengkafirkan sesama Islam.
Katanya, Bahagian 3 berkaitan penjagaan diri dan maruah pula mengandungi 18 fasal, manakala Bahagian 4 berkaitan penjagaan akal dan pengambilan minuman yang memabukkan merangkumi empat fasal.
“Dalam menjaga harta, Bahagian 5 merangkumi tiga fasal meliputi kesalahan berjudi, memakan atau menyalahgunakan harta anak yatim dan mengambil ujrah secara bertentangan dengan Hukum Syarak.
“Yang kelima dan terakhir di dalam Maqasid Syariah, menjaga keturunan iaitu di Bahagian 6, terdapat lima fasal yang bertujuan memastikan soal keturunan dan nasab dipelihara sebaik mungkin,”jelasnya.
Dalam pada itu, beliau juga memperincikan Maqasid Syariah merujuk kepada tujuan utama pensyariatan hukum Islam untuk mencapai kemaslahatan dan menolak kemudaratan kepada manusia, sama ada di dunia mahupun di akhirat.
Menurutnya, proses penggubalan, pelaksanaan dan penguatkuasaan undang-undang merupakan antara mekanisme penting bagi mencapai serta memelihara Maqasid Syariah, sekali gus memastikan hukum Allah SWT dimartabatkan pada kedudukan sewajarnya.
Beliau menegaskan pendekatan berteraskan Maqasid Syariah tidak seharusnya terhad kepada bidang perundangan semata-mata, sebaliknya perlu diterapkan secara menyeluruh dalam segenap aspek kehidupan.
Dato’ Mohd Nassuruddin turut merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Ahli Jawatankuasa Induk, Jawatankuasa Teknikal, Jemaah Ulama Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK), Ahli Majlis MAIK serta semua pihak yang terlibat dalam memastikan RUU berkenaan dapat dibentangkan dengan lengkap dan sempurna.







