Accessibility Tools

Skip to main content

Kelantan perkasa tujuh komponen keterjaminan makanan

  • 12 August 2026
  • Oleh: Asri Hamat
  • 34

KOTA DARULNAIM, 12 Ogos - Kerajaan Kelantan memperkasa industri keterjaminan makanan melalui tujuh komponen utama membabitkan pengeluaran tanaman, penternakan, perikanan dan akuakultur, makanan ternakan, industri hiliran, pemasaran serta teknologi dan input pertanian.

Exco Pertanian, Industri Agromakanan, Komoditi YB Dato’ Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail berkata, pendekatan itu bukan sekadar meningkatkan pengeluaran makanan, sebaliknya membangunkan keseluruhan rantaian industri agromakanan.

Katanya, bagi pengeluaran tanaman makanan, RM3.64 juta diperuntukkan pada 2026 untuk sepuluh projek pembangunan pertanian, termasuk projek cili fertigasi seluas 50 ekar di Kampung Kemuchup, Machang dan fasa pertama projek Melon Manis Kelantan serta sayuran hidroponik seluas 20 ekar di Rong Chenok.

“Sebanyak 50 ekar tanaman jagung bijian serta projek ubi keledek di Bachok juga sudah mula mengeluarkan hasil, manakala lima ekar tanaman halia muda diusahakan di Gong Datuk melalui Kelantan Biotech," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Negeri (ADN) Kelaboran YB Mohd Adanan Hassan, pada hari kedua Persidangan Kali Yang Kedua Bagi Tempoh Penggal Keempat Dewan Negeri Kelantan Yang Kelima Kelas Tahun 2026, hari ini. 

Tambah Dato' Tuan Mohd Saripudin, industri penternakan turut diperkukuh dengan 380 penternak menerima manfaat program melibatkan pembangunan lembu, kambing tenusu, bebiri, rusa, kerbau, puyuh dan unggas unggas yang lsin serta peralatan sokongan.

Selain itu katanya, RM1.8 juta diperuntukkan bagi projek Wagyu Malaysia, RM1 juta bagi pengukuhan industri kambing tenusu serta pengeluaran 240,000 ekor ayam pedaging setahun di Rong Chenok.

Bagi sektor perikanan dan akuakultur pula, beliau memaklumkan, sebanyak 7,901.74 tan metrik hasil bernilai RM76.2 juta direkodkan pada 2025 dengan sasaran 8,000 tan metrik tahun ini, selain pelepasan 1.26 juta benih ikan dan udang galah serta pembinaan 130 unit tukun tiruan.

“Kerajaan negeri turut memperkukuh industri makanan ternakan melalui dana RM400,000, selain 40 ekar tanaman rumput foder dan rumput minyak sebagai alternatif makanan tempatan oleh KPKB.

“Dalam industri hiliran pula, RM300,000 diperuntukkan pada 2026 bagi pembangunan IKS pertanian dan aktiviti hiliran, termasuk bantuan menerusi program MyAP, MyKP dan Projek Produk Dinaik Taraf,” jelasnya.

Menurutnya lagi, aspek pemasaran dan akses pasaran turut diperkasa dengan 74 infrastruktur serta 99 outlet pemasaran, membabitkan 1,560 usahawan, manakala 230 peserta digerakkan menerusi program ladang kontrak yang disokong sembilan pusat pengumpulan.

“Nilai jualan terkumpul di RTC Kelantan bagi tempoh 2012 hingga 2025 pula mencecah RM4.16 bilion.

“Bagi memperluas teknologi dan input pertanian, kerajaan negeri menyediakan peruntukan sebanyak RM200,000 untuk Program Fertigasi Al-Falah yang memanfaatkan 52 peserta daripada lima DUN, manakala RM90,000 diperuntukkan bagi latihan melalui Program Al-Falah Dron Darul Naim (AFDOL),” ujarnya.

Tambahnya kerajaan negeri turut memberi tumpuan kepada penyelidikan straw beku Charolais dan baka kambing Kalahari Red, selain melaksanakan satu inisiatif TVET Pertanian bagi melahirkan modal insan mahir dalam teknologi moden.

Pautan berjaya disalin!