SKC jalani penandaarasan bersama KIAS, tingkat keberkesanan khidmat kebajikan – Dato’ Rohani
-
12 August 2026
-
Oleh: Syamimi Manah
-
25
KOTA DARULNAIM, 12 Ogos - Program Ziarah Skuad Kita Cakna (SKC) sedang diperkasa menerusi Kajian Penandaarasan Amalan Terbaik bersama Kolej Universiti Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS) bagi meningkatkan keberkesanan penyampaian khidmat kebajikan kepada masyarakat.
Exco Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita YB Dato’ Rohani Ibrahim berkata, kajian berkenaan bertujuan mengenal pasti amalan terbaik dalam pelaksanaan SKC selain menilai keberkesanan pendekatan yang digunakan di seluruh negeri.
Menurutnya, kajian itu turut memberi tumpuan kepada usaha merumuskan garis panduan dan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang lebih seragam bagi memastikan gerak kerja SKC dapat dilaksanakan secara lebih tersusun dan berkesan.
“Penekanan diberikan kepada kaedah pengurusan kes, sistem dokumentasi, penglibatan komuniti dan agensi berkaitan serta pembangunan modul ziarah SKC,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Negeri (ADN) Melor YB Wan Rohimi Wan Daud pada hari kedua Persidangan Kali Kedua Bagi Tempoh Penggal Keempat Dewan Negeri Kelantan Yang Kelima Belas Tahun 2026, hari ini.
Dato’ Rohani berkata, sehingga kini sebanyak 450 ahli SKC telah dilantik di seluruh 45 DUN bagi melaksanakan gerak kerja kebajikan, khususnya melibatkan golongan sakit, Orang Kurang Upaya (OKU), warga emas, golongan miskin serta kumpulan sasar lain.
Beliau juga memaklumkan, dalam tempoh setahun, program berkenaan telah menyantuni 4,500 orang di seluruh 45 DUN di negeri ini.
Katanya, hasil kajian penandaarasan itu kelak akan menjadi asas kepada pengukuhan program, latihan serta pembangunan kapasiti ahli SKC supaya mereka lebih berkemahiran dalam pengurusan kebajikan dan komunikasi masyarakat.
“Selain itu, ahli SKC juga akan diperkasa dalam aspek pengendalian serta kesiapsiagaan menghadapi situasi bencana dan kecemasan,” jelasnya.
Menurutnya, kerajaan negeri berharap usaha penambahbaikan berkenaan dapat memperkukuhkan lagi peranan SKC sebagai ‘mata dan telinga’ kerajaan negeri dalam mengenal pasti keperluan rakyat.
“SKC juga diharapkan dapat terus berperanan sebagai ejen kebajikan yang benar-benar dekat dan cakna kepada masyarakat,” ujarnya.







