Accessibility Tools

Skip to main content

RUU Kesalahan Syariah Kelantan digubal dalam kompetensi DUN, pengawasan pakar

  • 12 August 2026
  • Oleh: Norzana Razaly
  • 27

KOTA DARULNAIM, 12 Ogos — Penggubalan Rang Undang-Undang (RUU) Kesalahan Syariah Kelantan 2026 mengambil pendekatan yang dibenarkan dalam ruang lingkup kompetensi Dewan Negeri (DUN) serta dilaksanakan secara teliti dengan pengawasan pakar dalam bidang berkaitan.

Timbalan Menteri Besar Kelantan YB Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, proses penggubalan itu turut melalui penelitian dan pengesahan Jemaah Ulama Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK).

“Penggubalan rang undang-undang ini mengambil pendekatan yang dibenarkan dalam ruang lingkup kompetensi Dewan Negeri.

“Penggubalan ini dibuat dengan sangat teliti di bawah pengawasan pakar di segenap bidang dan akhirnya disahkan oleh Jemaah Ulama Kelantan, Majlis Agama Islam Kelantan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan RUU berkenaan pada hari kedua Persidangan Kali Kedua Bagi Tempoh Penggal Keempat Dewan Negeri Kelantan Yang Kelima Belas Tahun 2026, hari ini.

Mengulas kemungkinan undang-undang berkenaan berdepan cabaran perundangan, Dato' Dr. Mohamed Fadzli berkata, tiada undang-undang yang boleh dianggap kebal daripada proses semakan atau cabaran melalui saluran undang-undang.

“Tiada satu pun undang-undang yang kalis cabaran. Sekiranya undang-undang tersebut dikira sebagai sudah lapuk, ia boleh dicabar dan dibatalkan,” jelasnya.

Beliau menegaskan, kemungkinan berdepan cabaran tidak seharusnya menyebabkan Dewan Negeri mengambil sikap pasif dalam melaksanakan tanggungjawab perundangan yang berada dalam bidang kuasanya.

“Apabila undang-undang yang pernah Dewan ini luluskan dan mendapat ‘royal assent’ daripada Tuanku al-Sultan kita, tiba-tiba dibatalkan, adakah kita nak merendahkan sikap berdikari?

“Jangan sampai ketakutan kita kepada cabaran orang terhadap apa yang kita lakukan membuatkan kita berpeluk tubuh, berputih mata dan tidak berbuat apa-apa,” ujarnya.

Menurutnya lagi, penjenamaan semula dalam RUU tersebut dilakukan secara berhati-hati dengan mengambil kira perkembangan serta tafsiran kehakiman berkaitan pembahagian bidang kuasa antara negeri dan Persekutuan.

“Penjenamaan semula ini dilakukan dengan penuh hati-hati dan teliti bagi menangani kecenderungan trend kehakiman sivil yang sentiasa menganggap apa saja yang berkaitan dengan jenayah seolah-olah terletak sepenuhnya kepada bidang kuasa persekutuan dan juga bidang kuasa mahkamah sivil,” katanya.

Beliau turut berpandangan bahawa kedudukan dan bidang kuasa Mahkamah Syariah perlu terus dipelihara dalam lingkungan yang diperuntukkan oleh undang-undang.

“Kita mempunyai bidang kuasa yang sempit sebegitu pun, dari masa ke semasa sentiasa ada cubaan untuk mengganggu gugat kedudukan mahkamah syariah,” katanya.

Dalam konteks bentuk hukuman pula, Dato' Dr. Mohamed Fadzli menegaskan keutamaan kerajaan negeri adalah memastikan pendekatan yang digunakan selaras dengan kerangka perundangan Islam dalam ruang lingkup bidang kuasa yang tersedia.

“Walaupun hukuman-hukuman itu ringan, lebih baik ringan kalau mengikut kaedah Islam daripada berat yang tidak mengikut kaedah Islam,” tegasnya.

Beliau turut mengingatkan bahawa perbahasan mengenai perundangan Islam memerlukan kefahaman terhadap struktur, prinsip dan sistem perundangan yang mendasarinya.

“Soal perundangan Islam ini, kalau kita tidak faham sistemnya jangan kita memberikan pandangan, nanti orang tahu setakat mana ilmu yang ada pada kita,” katanya.

Pautan berjaya disalin!