Accessibility Tools

Skip to main content

MB rai Alif Rakib, terima RM20,000, bakal cabar Prajanchai Oktober depan

  • 13 August 2026
  • Oleh: Asri Hamat
  • 36

KOTA DARULNAIM, 13 Ogos - Kerajaan Negeri Kelantan menyumbangkan RM20,000 kepada Alif Rakib sebagai tanda penghargaan atas kejayaannya mencipta sejarah sebagai rakyat Malaysia pertama yang bergelar Juara Dunia Interim Muay Thai Strawweight ONE Championship.

Sumbangan tersebut disampaikan oleh Menteri Besar, YAB Dato' Panglima Perang Ustaz Dato' Mohd Nassuruddin Daud sempena majlis ringkas meraikan Alif bersama keluarganya di Kediaman Rasmi Menteri Besar, JKR 10, semalam.

Turut hadir, Exco Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat, YB Zamakhshari Muhamad.

YAB Ustaz Dato' Mohd Nassuruddin Daud berkata, kejayaan Alif menyerlahkan kesungguhan, keberanian dan disiplin seorang anak muda yang berjaya mengharumkan nama Kelantan serta Malaysia di pentas antarabangsa.

“Sebagai tanda penghargaan atas pencapaian membanggakan ini, Kerajaan Negeri Kelantan menyumbangkan RM20,000 kepada Alif Rakib,” katanya dalam satu hantaran di media sosial semalam.

Menurut YAB Menteri Besar, beliau dimaklumkan Alif dijangka kembali beraksi pada Oktober ini menentang Juara Dunia Strawweight Muay Thai, Prajanchai PK Saenchai, dalam pertarungan yang dijadualkan berlangsung di Malaysia.

“Justeru itu marilah sama-sama kita doakan dan berikan sokongan kepada Alif Rakib. Semoga beliau terus cemerlang, melangkah lebih jauh dan terus mengharumkan nama Kelantan serta Malaysia di persada dunia,” katanya.

Dalam perkembangan lain, YAB Ustaz Dato' Mohd Nassuruddin turut mengucapkan tahniah kepada pelajar Maahad Pengajian Islam, Muhammad Eyshan Izz Rifqi Badaliza, yang meraih tiga pingat emas dalam Kejohanan Jemputan Taekwondo Antarabangsa ITF 2026 di Loudi, China, pada 11 dan 12 Ogos.

Muhammad Eyshan meraih emas menerusi acara Team Pattern, Individual Pattern dan Individual Sparring.

“Sekalung tahniah saya ucapkan kepada Muhammad Eyshan Izz Rifqi Badaliza, pelajar Maahad Pengajian Islam, atas kejayaan cemerlang meraih tiga pingat emas dalam Kejohanan Jemputan Taekwondo Antarabangsa ITF 2026 di Loudi, China,” katanya.

Beliau berharap kejayaan Muhammad Eyshan menjadi inspirasi kepada lebih ramai anak Kelantan untuk terus berani membawa nama negeri ke peringkat lebih tinggi.

“Tahniah Eyshan! Demi Kelate Kito Lawe,” katanya.

Pautan berjaya disalin!