Accessibility Tools

Skip to main content

Makmal Geokimia Negeri Kelantan perkukuh kawalan kualiti mineral, sokong pembangunan industri REE

  • 13 August 2026
  • Oleh: Irham Hilmi Hashim
  • 41

KOTA DARULNAIM, 13 Ogos – Kerajaan Negeri Kelantan memperkukuh keupayaan teknikal menerusi Makmal Geokimia Negeri Kelantan (MGNK) bagi menyokong pembentukan ekosistem rantaian nilai unsur nadir bumi (REE) yang mampan di negeri ini.

Timbalan Menteri Besar Kelantan YB Dato’ Mohamed Fadzli Dato’ Hassan berkata, makmal berkenaan yang dimiliki kerajaan negeri melalui Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Negeri Kelantan telah dilengkapi dengan peralatan analisis yang canggih dan lengkap bagi menguji serta meneliti sampel elemen REE.

Menurutnya, pemerkasaan fungsi MGNK membolehkan kerajaan negeri mengambil langkah lebih tersusun dalam aspek kawalan kualiti, analisis teknikal serta penentuan tahap ketulenan hasil mineral yang terdapat di Kelantan.

“Melalui pemerkasaan fungsi MGNK inilah kerajaan negeri sedang mengorak langkah bagi memastikan kawalan kualiti, analisis teknikal serta penentuan ukuran atau tahap ketulenan hasil mineral seperti emas, bijih besi, mangan, nadir bumi dan pelbagai mineral lain di Kelantan dapat dilaksanakan mengikut standard industri yang diiktiraf,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Negeri (ADN) Paloh, YB Dato’ Shaari Mat Hussain mengenai sejauh mana pembukaan makmal piawaian mineral nadir bumi bertaraf standard global di Bandar Baru Tunjong mampu membantu Kelantan sebagai hab industri REE di rantau ASEAN pada Persidangan Kali Kedua Bagi Tempoh Penggal Keempat Dewan Negeri Kelantan di Kota Darulnaim, hari ini.

Menjawab persoalan tersebut, Timbalan Menteri Besar menjelaskan bahawa makmal yang dimaksudkan di Bandar Baharu Tunjong ialah Kelstone Cosmos Laboratory dan bukan makmal yang berada di bawah seliaan langsung atau pemilikan penuh Kerajaan Negeri Kelantan.

Menurutnya, Kelstone Cosmos Laboratory merupakan projek usaha sama antara pihak swasta dan Kelstone Sdn. Bhd., anak syarikat Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK).

“Pembukaan makmal di Bandar Baharu Tunjong yang dimaksudkan itu sebenarnya bukan di bawah seliaan langsung atau pemilikan penuh kerajaan negeri,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata status perancangan serta penanda aras global bagi makmal tersebut berada di luar bidang kuasa pengesahan Kerajaan Negeri Kelantan buat masa ini.

Bagaimanapun, katanya, kerajaan negeri tetap mempunyai kemudahan sendiri menerusi MGNK yang boleh memainkan peranan penting dalam menyokong hasrat untuk menjadikan Kelantan sebagai hab industri REE yang berdaya saing.

Tambahnya, keupayaan makmal berkenaan dalam menjalankan analisis sampel mineral dapat menyokong usaha kerajaan negeri memastikan hasil mineral yang diperoleh dapat diteliti dari sudut teknikal dan kualiti.

Selain REE, menurutnya, fungsi tersebut turut merangkumi analisis terhadap pelbagai hasil mineral lain seperti emas, bijih besi dan mangan.

Katanya, langkah memperkukuh fungsi serta keupayaan MGNK secara tidak langsung menyumbang kepada pembentukan rantaian nilai REE yang lebih tersusun dan mampan di Kelantan.

Menurutnya, usaha berkenaan menjadi sebahagian daripada langkah kerajaan negeri dalam membangunkan kapasiti teknikal berkaitan sumber mineral, khususnya bagi menyokong pengurusan dan pembangunan industri REE di negeri ini.

Beliau menegaskan bahawa keupayaan menjalankan kawalan kualiti, analisis teknikal serta penentuan tahap ketulenan mineral merupakan aspek penting dalam memastikan pembangunan sektor mineral negeri dapat disokong dengan kemudahan teknikal yang bersesuaian.

Dalam masa sama, Timbalan Menteri Besar berkata pemerkasaan MGNK akan terus menjadi antara pendekatan kerajaan negeri dalam menyokong hasrat Kelantan membangunkan industri REE yang berdaya saing serta membentuk rantaian nilai mineral yang mampan.

Pautan berjaya disalin!