Kelantan perkasa pendigitalan pengurusan tanah, perkhidmatan PBT
-
13 August 2026
-
Oleh: Asri Hamat
-
34
KOTA DARULNAIM, 13 Ogos - Kerajaan Negeri Kelantan memberi perhatian serius terhadap agenda pendigitalan negeri, khususnya bagi meningkatkan kecekapan pengurusan tanah dan mutu penyampaian perkhidmatan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) kepada rakyat.
Menteri Besar, YAB Dato' Panglima Perang, Ustaz Dato' Mohd Nassuruddin Daud berkata, agenda berkenaan dipandu Pelan Tindakan Ekonomi Digital Negeri Kelantan 2030 yang menggariskan enam teras strategik, termasuk pemacuan transformasi digital sektor awam negeri.
Menurutnya, pelan berkenaan menyasarkan penyampaian perkhidmatan kerajaan secara dalam talian dari peringkat awal hingga akhir, selain memperluas transaksi tanpa tunai, mengintegrasikan sistem serta memanfaatkan data bagi menambah baik perkhidmatan kerajaan.
Dalam urusan pengurusan dan pentadbiran tanah, katanya, kerajaan negeri menetapkan beberapa program termasuk memperluas pembayaran hasil tanah secara dalam talian melalui Portal Hasil Tanah Kelantan, termasuk ke Pejabat Tanah dan Jajahan Kecil Lojing.
"Kerajaan negeri juga akan meningkatkan penerimagunaan sistem urusan tanah secara digital supaya semakan dan pembayaran dapat dilaksanakan dengan lebih mudah.
"Selain itu, kerajaan negeri menggalakkan integrasi perkhidmatan berkenaan dengan gerbang rasmi perkhidmatan kerajaan, sistem pembayaran tanpa tunai dan pada peringkat seterusnya Identiti Digital Kelantan atau Kelantan ID."
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Negeri (ADN) Limbongan, YB Nor Asilah Mohamed Zin, pada Persidangan Kali Yang Kedua Bagi Tempoh Penggal Keempat Dewan Negeri Kelantan Yang Kelima Kelas Tahun 2026, hari ketiga, hari ini.
Bagi PBT pula katanya, tumpuan diberikan kepada peluasan perkhidmatan dalam talian yang mempunyai hubungan langsung dengan rakyat dan peniaga.
Antara program yang digariskan ialah peluasan pembayaran cukai taksiran, sewaan dan kompaun secara dalam talian, termasuk melalui kemudahan MyKiosk di semua PBT.
Selain itu, sistem permohonan dan pembaharuan lesen premis perniagaan akan ditambah baik supaya dapat dilaksanakan secara dalam talian dan seterusnya bergerak ke arah perkhidmatan pada semua peringkat.
Tambah YAB Menteri Besar, kerajaan negeri turut memberi tumpuan kepada peluasan penggunaan OSC 3.0 Plus Online bagi mempercepat urusan permohonan dan kelulusan pembangunan, selain memperluas penggunaan sistem pengurusan menara telekomunikasi di PBT.
Langkah lain ialah mewujudkan sistem pembayaran petak letak kenderaan melalui aplikasi mudah alih di semua PBT.
Menjawab soalan tambahan ADN yang sama berkaitan langkah memastikan agenda pendigitalan itu mesra pengguna, selamat dan digunakan secara meluas rakyat serta komuniti perniagaan, YAB Menteri Besar bekata, kerajaan negeri mengakui masih terdapat ruang untuk menambah baik penggunaan sistem dalam talian bagi cukai taksiran dan lesen premis perniagaan.
Kerajaan negeri, katanya, mengambil maklum dapatan Indeks Ekonomi Digital Negeri yang menunjukkan ruang penambahbaikan dalam aspek berkenaan.
"Oleh itu, tumpuan seterusnya bukan sekadar menyediakan sistem tetapi memastikan urusan boleh diselesaikan sepenuhnya secara dalam talian, mesra pengguna, selamat dan digunakan secara meluas oleh rakyat termasuk komuniti perniagaan," katanya.
Secara keseluruhannya, hala tuju digital Kelantan adalah untuk mewujudkan ekosistem perkhidmatan kerajaan yang bersepadu, mengurangkan keperluan rakyat hadir ke kaunter, mempercepat kutipan hasil serta urusan kelulusan, meningkatkan ketelusan dan seterusnya memperkukuh kecekapan pentadbiran negeri serta PBT.
Kerajaan negeri akan terus menyelaras dan memantau pelaksanaan program berkenaan melalui struktur tadbir urus Pelan Tindakan Ekonomi Digital Negeri Kelantan 2030 supaya manfaat pendigitalan dapat dirasai rakyat, komuniti peniaga dan semua pihak berkepentingan.







