Accessibility Tools

Skip to main content

Pengiktirafan antarabangsa MGNK jadi sasaran utama Kelantan dalam pembangunan industri REE

  • 13 August 2026
  • Oleh: Irham Hilmi Hashim
  • 38

KOTA DARULNAIM, 13 Ogos – Pengiktirafan antarabangsa terhadap Makmal Geokimia Negeri Kelantan (MGNK) menjadi antara sasaran utama Kerajaan Negeri Kelantan dalam usaha membangunkan potensi industri unsur nadir bumi (REE) sebagai sektor yang mampu menyumbang kepada pembangunan ekonomi negeri pada masa hadapan.

Timbalan Menteri Besar Kelantan YB Dato’ Mohamed Fadzli Dato’ Hassan berkata, kerajaan negeri memberi penekanan kepada pencapaian indikator prestasi MGNK terlebih dahulu memandangkan aktiviti perlombongan REE masih belum dilaksanakan dan ketika ini berada pada peringkat eksplorasi.

Menurutnya, peringkat eksplorasi tersebut penting bagi mengenal pasti kawasan yang mempunyai deposit REE yang ekonomik, iaitu berpotensi untuk dilombong dan mempunyai nilai komersial.

“Memang REE ialah masa depan. Kita memang melihat potensi REE ini kepada pembangunan ekonomi negeri Kelantan masa hadapan dan juga untuk manfaat kepada rakyat negeri Kelantan serta menyumbang secara signifikan kepada pembangunan ekonomi negeri,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Ahli Dewan Negeri (ADN) Paloh, YB Dato’ Shaari Mat Hussain pada Persidangan Kali Kedua Bagi Tempoh Penggal Keempat Dewan Negeri Kelantan di Kota Darulnaim, hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata, dalam menentukan sasaran berkaitan pembangunan REE, kerajaan negeri pada peringkat awal memberi tumpuan kepada keupayaan MGNK sebagai makmal yang menjalankan analisis terhadap sampel unsur nadir bumi.

Sehubungan itu, menurutnya, kerajaan negeri menyasarkan MGNK mendapat pengiktirafan di peringkat antarabangsa melalui sijil piawaian ISO yang diterima pakai secara global.

“Untuk tujuan tersebutlah kita meletakkan indikator prestasi makmal ini dahulu sebagai satu makmal yang diiktiraf di peringkat antarabangsa melalui sijil piawaian ISO yang diterima pakai secara global, setanding dengan makmal-makmal terkemuka luar negara,” katanya.

Selain itu, beliau berkata, standard dan keupayaan MGNK telah mendapat pengiktirafan awal menerusi siri lawatan rasmi delegasi luar serta kedutaan antarabangsa.

Menurutnya lagi, antara pihak yang telah mengadakan lawatan ialah Duta Jepun, Duta Perancis serta wakil Amerika Syarikat.

“Contohnya, kita telah menerima lawatan dan delegasi daripada Duta Jepun, Duta Perancis serta wakil daripada Amerika Syarikat yang mengesahkan bahawa makmal yang kita ada itu telah memenuhi piawaian tinggi yang diperlukan bagi menganalisis sampel nadir bumi,” katanya.

Pada masa sama, beliau berkata, tumpuan kepada pembangunan dan pengiktirafan MGNK dibuat terlebih dahulu kerana kerajaan negeri masih dalam proses mengenal pasti kawasan yang mempunyai deposit REE yang ekonomik sebelum aktiviti perlombongan dilaksanakan.

Pautan berjaya disalin!