Accessibility Tools

Skip to main content

4,159 usahawan wanita terima manfaat Tabung Usahawan Wanita sejak 2016 – Dato’ Rohani

  • 13 August 2026
  • Oleh: Syamimi Manah
  • 46

KOTA DARULNAIM, 13 Ogos - Sebanyak 4,159 usahawan wanita di Kelantan telah menerima manfaat menerusi Tabung Usahawan Wanita (TUW) sejak skim berkenaan diperkenalkan pada 2016 hingga kini.

Exco Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita YB Dato’ Rohani Ibrahim berkata, TUW merupakan inisiatif kerajaan negeri dalam menyediakan bantuan berbentuk peralatan perniagaan kepada usahawan kecil wanita yang berpendapatan rendah.

Menurutnya, skim berkenaan memberi fokus khusus kepada golongan wanita, beliawanis, armalah serta wanita Orang Kurang Upaya (OKU) yang layak bagi membantu mereka menjana pendapatan melalui aktiviti perniagaan.

“Tabung ini memberikan fokus kepada golongan wanita armalah serta wanita OKU yang layak bagi menjana kewangan perniagaan mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Negeri (ADN) Jelawat YB Zameri Mat Nawang pada Persidangan Kali Kedua Bagi Tempoh Penggal Keempat Dewan Negeri Kelantan Yang Kelima Belas Tahun 2026, hari ini.

Beliau berkata, antara mekanisme pemantauan yang dilaksanakan adalah melalui Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi memastikan pengawasan dapat dilakukan dengan lebih dekat di peringkat akar umbi.

Katanya, sebarang isu yang berbangkit atau cadangan penambahbaikan akan dilaporkan oleh pusat khidmat DUN masing-masing kepada Urus Setia Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita (U-KeKWa) yang menguruskan bantuan berkenaan.

“Pendekatan ini membolehkan pengawasan secara lebih dekat di peringkat akar umbi yang mana sebarang isu yang berbangkit atau cadangan penambahbaikan dilaporkan oleh pusat khidmat DUN masing-masing kepada U-KeKWa yang mengurus bantuan tersebut,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, U-KeKWa turut membuat penilaian terhadap pencapaian dan keberkesanan bantuan kepada 2,252 penerima TUW bagi tempoh 2021 hingga 2024.

Menurutnya, walaupun bantuan peralatan yang diberikan berskala kecil, ia tetap memberi impak positif kepada penerima, antaranya membantu meningkatkan tahap pengoperasian perniagaan wanita.

“Antaranya membantu meningkatkan tahap pengoperasian perniagaan wanita tersebut, memberi peluang kepada wanita menambah pendapatan keluarga dan ekonomi wanita setempat serta mengurangkan kebergantungan pada bantuan kewangan pihak lain.

“Ia juga mewujudkan jaringan ekonomi komuniti usahawan kecil wanita yang lebih berdaya,” jelasnya.

Tambahnya, kerajaan negeri melalui portfolio keusahawanan turut memperkenalkan Skim Kredit Mikro Usahawan Negeri Kelantan atau e-Mikro yang menawarkan kemudahan pembiayaan kepada peniaga kecil, golongan berpendapatan rendah dan usahawan bandar.

Katanya, skim tersebut turut boleh dimanfaatkan oleh usahawan wanita di negeri ini bagi memperkukuhkan pembangunan keusahawanan, meningkatkan pendapatan isi rumah serta memajukan ekonomi keluarga.

Pautan berjaya disalin!